SHAH ALAM 09 NOVEMBER 2018. Penyanyi, Siti Sarah Raisuddin pada separuh akhir minggu pertama Muzik Muzik 33 di Plaza Alam Sentral Shah Alam. NSTP/ZUNNUR ALS AHFIQ
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


MINGGU pertama Separuh Akhir Muzik-Muzik 33 (MM33) menyaksikan lagu ciptaan Mera Utama berjudul Semakin dendangan Siti Sarah dinobatkan sebagai lagu terbaik.

Lagu itu berjaya menawan hati barisan juri yang diketuai Datuk Mokhzani sekali gus memberikan saingan sengit kepada 10 lagi lagu yang bertanding.

Sarah ketika ditemui berkata, dia bersyukur kerana lagu dendangannya itu dinobatkan sebagai lagu terbaik.

“Saya terkejut dan seakan tidak percaya dengan keputusan itu. Rasa sedih pun ada juga sekarang ini.

“Bukan apa, sudah terlalu lama saya menantikan saat ini untuk berada di pentas Separuh Akhir Muzik Muzik. Alhamdulillah semuanya berjalan baik semalam,” katanya.

Menurut Sarah, dia mengakui setiap lagu yang bertanding mempunyai kelebihan tersendiri, namun lagu nyanyiannya itu memiliki keunikan hingga berjaya menambat hati juri.

“Setiap lagu ada kelebihan masing-masing. Bagi saya lagu Semakin menampilkan lirik dan melodi yang tepat, menyentuh jiwa selain memang kena dengan vokal suara saya selepas beberapa kali lagu dirombak ketika sesi rakaman.

“Meskipun dipilih sebagai lagu terbaik belum bermakna lagu ini layak ke pentas Anugerah Juara Lagu.

“Keputusan yang diterima ini cukup mendebarkan saya, namun ia menyuntik semangat saya untuk memberikan persembahan terbaik,” katanya.

Pertandingan minggu pertama yang berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral itu turut menyaksikan lagu Di Matamu nyanyian Sufian Suhaimi, Dia oleh penyanyi Qody, Mimpi (Liza Hanim), Bercanda Di Malam Indah (Masdo) , dan Seindah Berdua dendangan Dewi Seriestha.

Tidak ketinggalan lagu Kata Akhirmu nyanyian Ariff Bahran, Dia (Dayang Nurfaizah), Hikayat Benladin, Sesungguhnya oleh Alif Satar, dan Tak Pernah Hilang (Amylea X Kaer).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 2:05 PM