RAJA MUKHRIZ
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


“FILEM Tujuh memaparkan budaya era Woodstock dan hippies yang sudah tentu membabitkan penggunaan minuman keras dan dadah. Atas alasan terbabit, filem ini tidak mendapat kelulusan untuk ditayangkan di sana. Namun, saya akur dan menghormati keputusan yang dibuat pihak berkenaan-Raja Mukhriz

Selama terbabit dalam bidang pengarahan, filem kedua berjudul Tujuh selepas Ophilia karya Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin ini disifatkan sebagai karyanya yang paling diraikan industri filem tempatan.

Raja Mukhriz berkata, ketika mengarah dan menerbitkan Ophilia, dia sekadar penerbit kecil yang terpaksa memikirkan segala hal termasuk pemasaran.

“Kini saya tidak rasa tertekan, mungkin penerbit saja rasa tertekan. Ini kerana sebagai pembikin ‘indie’ dan Tujuh adalah kemewahan yang saya rasai berbanding sebelum ini.

“Saya tidak perlu fikir mengenai promosi dan sebagainya kerana pihak penerbit bekerja keras melalui pasukan promosi mereka. Perkembangan yang saya lihat ini sangat membantu,” katanya.

Ambil contoh ketika filem Ophilia dulu, dia tertekan kerana semuanya perlu dibuat sendiri termasuk mengeluarkan wang sendiri selain menjual tiket dengan bantuan isterinya yang juga pelakon Sharifah Shahora.

Malah, dia juga terpaksa menjual baju bagi menggerakkan promosi dan kini rasa diberkati melalui adanya Primework Studios yang menjadi penerbit.

Pun begitu, Tujuh yang menelan kos hampir RM1.8 juta ini berdepan dengan isu tidak mendapat kelulusan untuk ditayangkan di Brunei.

Raja Mukhriz berkata, pihak penapisan filem negara itu memberikan alasan karyanya mengandungi unsur tidak bermoral.

“Filem Tujuh memaparkan budaya era Woodstock dan hippies yang sudah tentu membabitkan penggunaan minuman keras dan dadah. Atas alasan terbabit, filem ini tidak mendapat kelulusan untuk ditayangkan di sana. Namun, saya akur dan menghormati keputusan yang dibuat pihak berkenaan,” katanya.

Selain itu, Tujuh yang turut memaparkan banyak babak ngeri tidak terlepas daripada menjadi ‘mangsa’ potongan Lembaga Penapis Filem (LPF).

Katanya, sebanyak 13 babak dipotong membabitkan babak dari segi sudut kerja kamera saja dan ia memberikan sedikit kesan dari segi kesinambungan, namun tidak menjejaskan jalan cerita,

Dia menyifatkan dirinya sebagai seorang yang ‘realis’ dan jika ada yang tidak dapat menerima hakikat, terpulang kepada mereka kerana sebagai pengarah, dia hanya mahu menceritakan perkara sebenar.

Katanya, Tujuh mewakili tujuh remaja dari kolej ketika itu yang cuba melobi antara satu sama lain untuk mendapat tempat dalam pemilihan ketua pelajar.

“Ia juga berdasarkan era saya jadi pelajar di ITM (kini UiTM), lobi melobi itu perkara biasa dan pada era 1970-an mengikut cerita bapa dan ibu saudars saya, anak muda era itu akan adakan parti bagi tujuan melobi,” katanya.

Selain itu, elemen mimpi dan tidur adalah penting dalam penceritaan Tujuh kerana berkaitan dengan dirinya sendiri.

Katanya, dia pernah melalui keadaan tidak dapat tidur selama lebih dua hari dan ketika itu mental hampir koyak sehingga tidak mampu berfikir secara rasional selain emosi sering terganggu.

“Saya nak penonton rasa, jika tidak tidur pada jangka masa lama, bagaimana rasanya? Biarpun Tujuh ada elemen seram, ia sekadar menyedapkan jalan cerita kerana elemen seram sangat diraikan dalam sinema dunia dan tempatan masa ini,” katanya.

Sebagai pengarah fotografi yang sudah menghasilkan lebih 63 filem dalam kerjaya, dia akui sudah belajar banyak perkara mengenai cara untuk mengurus potongan babak supaya tidak mengganggu mana-mana babak.

Katanya, penceritaan Tujuh tidak membenarkan penonton untuk ‘berkhayal’ sehinggakan pada minit pertama sehingga minit ke-23, penonton sudah disajikan dengan ‘back-story’.

Malah setiap watak ada waktu skrin masing-masing yang cukup untuk diikuti penonton.

“Saya suka buat cerita anti-hero. Tiada istilah banyak babak, dialah hero kerana semua ada peluang masing-masing untuk menonjol.

“Semua watak tiada ‘rehat’ dan jika penonton tertinggal satu babak, mereka akan rugi sebab terlepas penceritaan selanjutnya,” katanya.

Katanya, walaupun ada yang mungkin menganggap ada persamaan dengan filem Pontianak Harum Sundal Malam, Final Destination, A Nightmare on Elm Street, ia terpulang pada mereka kerana baginya, Tujuh ini masih ‘original’ sebab elemen yang ada datang dari dia sendiri.

Tujuh yang kini ditayangkan menampilkan lakonan Marsha Milan Londoh, Aeril Zafril, Johan As’ari, Siti Saleha, Christina Suzanne, Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 November 2018 @ 8:56 AM