DALIMAWATI. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“Dah la berlakon dibayar ‘sedih’, jadi saya harap bayaran wang bonus akan tinggi. Tetapi ‘sedih’ juga,” kata pelakon Dalimawati yang melakonkan watak hantu Kak Limah dalam filem Hantu Kak Limah (HKL).

Dalimawati atau nama sebenarnya Dalimawati Ismail mengakui terkejut dengan wang bonus diterima kerana ia tidak setimpal dengan kutipan keseluruhan HKL iaitu RM38 juta.

Malah, Dalimawati tidak menyalahkan Andy Lau selaku pengasas bersama syarikat Infinitus Entertainment Group iaitu syarikat penerbitan HKL, sebaliknya ia tanggungjawab individu yang menguruskan syarikat itu di sini.

“Macam Datuk Awie kata, bayaran memang ‘ciput’. Tidak jangka dapat sebanyak itu, tetapi nak buat macam mana. Sepatutnya, mereka kena faham dan ambil kira usaha setiap pelakon dan kru terbabit. Kami kerja bagai nak ‘gila’. Dari pagi sampai keesokan harinya.

“Saya tak salahkan Andy Lau sebab dia tak tahu apa-apa. Yang salah adalah orang yang jaga syarikat itu di sini. Mereka yang tetapkan bayaran pelakon dan tentukan wang bonus.

“Bagi saya, yang nak jatuhkan kita adalah orang kita juga. Tak luak pun nak kongsi lebih kepada setiap orang terbabit jika nak dibandingkan dengan kutipan puluhan juta diraih HKL,” katanya kepada Harian Metro.

Dalimawati yang popular menerusi filem Hantu Kak Limah Balik Rumah mengakui tidak mahu lagi berlakon dalam filem HKL jika ia diterbitkan oleh penerbit sama.

“Saya macam Awie juga, tak nak berlakon kalau penerbit sama. Kalau nak cari watak hantu Kak Limah lain, carilah.

“Bagi saya cukuplah apa yang dibuat pada kami,” katanya.

Semalam, pelakon utama filem ini, Datuk Awie meluahkan rasa terkilan dan kecewa dengan wang bonus diterima meski filem itu meraih kutipan RM38 juta.

Awie, 50, atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, jumlah itu tidak setimpal dengan usaha pelakon dan sumbangan pekerja belakang tabir filem itu.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif Infinitus Gold, Gayatri Su-Lin Pillai ketika dihubungi berkata, pihaknya akan mengeluarkan kenyataan rasmi bersama pihak Astro Shaw.

“Maaf lambat balas. Nanti Astro Shaw dengan Infinitus akan keluarkan komen. Apa-apa saya akan maklumkan,” katanya menerusi kiriman aplikasi Whatsapp.

Berita berkaitan:

  • 'Nak cakap pun malu...' [METROTV]/a>
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 1:10 PM