PELAKON dan juri Maharaja Lawak Mega 2018, Remy Ishak. FOTO Azhar Ramli
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


JIKA sebelum ini Remy Ishak antara peminat dan pemerhati program lawak Maharaja Lawak Mega untuk beberapa tahun penganjurannya.

Namun, pada musim kali ini Remy diberi tanggungjawab besar di kerusi juri bersama-sama Scha Al Yahya, Tya Ariffin dan Douglas Lim selaku ketua juri.

Pengumuman terbabit dibuat ketika konsert minggu pertama Maharaja Lawak Mega 2018 yang bersiaran secara langsung di Royal Teater Shah Alam, baru-baru ini.

Walaupun tugas yang digalas masih baru, Remy dilihat begitu bijak menilai persembahan setiap peserta hingga rata-rata pelawak berpuas hati dengan teguran serta komen yang diberikan.

Remy ketika ditemui berkata, dia berasa teruja apabila diberi peluang menjadi juri pada penganjuran kali ini.

“Saya seronok apabila melihat setiap pelawak mempunyai usaha untuk memajukan diri mereka.

“Saya bersetuju untuk berada di kerusi juri ini kerana saya antara individu yang menonton program ini setiap musim.

"Jadi apabila ditawarkan, saya tidak menunggu masa yang lama kerana saya percaya dengan pengalaman lakonan yang dimiliki saya boleh memberi idea untuk mewarnai persembahan mereka setiap minggu,” katanya.

Ditanya mengenai bahan lawak yang tidak patut dilakukan setiap pelawak selepas program ini bersiaran untuk tempoh yang lama, Remy berkata, dia akan mengambil serius jika ada pelawak masih menggunakan lawak lucah dalam persembahan mereka.

“Saya akan meneliti markah sekiranya ada pelawak yang menggunakan bahan lawak lucah atau keterlaluan.

“Bagi saya, bahan lawak seperti ini tidak lagi wajar kerana ada di antara penonton di rumah dalam kalangan kanak-kanak.

“Jadi tidak sewajarnya bahan seperti ini dipertontonkan. Ada banyak lagi lawak yang boleh digunakan. Saya sebelum ini pernah membawakan beberapa karakter lawak tanpa menyentuh lawak yang sensitif dan keterlaluan,” katanya.

Menurut Remy, sebagai anak seni dan pelawak kita seharusnya menjadi contoh dan mendidik penonton ke arah yang positif.

“Jadikan setiap lawak itu sebagai satu cari untuk mendidik. Kita seharusnya menjadi contoh kepada mereka. Lagipun lawak yang dibuat kadang-kadang boleh menjadi ikutan dan memudaratkan kanak-kanak yang menonton," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 November 2018 @ 5:45 AM