Isa tidak dapat puaskan hati semua orang. FOTO fail HM Digital
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“SAYA pernah melalui pengalaman hidup yang sangat tragis serta hampir mahu membunuh diri satu ketika dulu.

“Bersandarkan pengalaman hidup yang dilalui, ia cukup mematangkan saya untuk menjadi sangat lantang bersuara terutama di media sosial.

“Apa yang penting, saya bercakap benda yang betul,” kata penyanyi dan pelakon meningkat naik, Isa Khan ketika diminta mengulas dakwaan segelintir pihak dirinya sudah besar kepala ketika ini.

Menurut pemilik nama sebenar, Mohammad Fara Aidid Ali Dad Khan, 25, dia juga tidak takut dengan kecaman dari segelintir pihak kerana sikapnya yang sangat lantang di media sosial itu.

“Bukan saja besar kepala, ada pihak yang mendakwa saya poyo dan bercakap macam bagus saja.

“Terus terang, saya berasa tidak perlu untuk memuaskan hati semua orang kerana apa yang penting, saya beri apa yang pengarah mahu di lokasi penggambaran dan tidak kurang ajar dengan orang,” katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, pelakon drama bersiri Rahasia Kasih di saluran Ntv7 ini juga terpanggil untuk menganjurkan program amal “Heal The World” sekali gus membantu golongan yang kurang bernasib baik terutama di sekitar Lembah Klang.

“Setiap hari saya berfikir mengenai kematian dan setiap hari jugalah saya menghargai hidup seolah olah ia hari yang terakhir untuk dinikmati.

“Selepas apa yang dilalui, saya juga pernah berjanji jika ada rezeki lebih saya mahu buat program amal untuk membantu golongan yang memerlukan seperti gelandangan, rumah orang tua dan anak yatim,” katanya.

Ditanya program amal itu lagi, kata Isa, ia juga mendapat maklum balas positif dari pengikutnya di laman Instagram.

“Sebenarnya, sudah lama saya mahu buat program amal ini tetapi baru sekarang ia kesampaian.

“Ramai yang menghantar ‘Direct Message’ pada saya untuk menyertai program amal ini di laman Instagram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 9:30 PM