NORYN Aziz. Foto HALIMATON SAADIAH SULAIMAN
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENYANYI Noryn Aziz berkongsi anak lelakinya Raja Bariq Umar Shah, 4, menjadi sumber kekuatan dirinya tatkala berdepan kemelut rumah tangga dengan suaminya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah yang kini dalam proses perceraian.

Noryn, 42, atau nama sebenarnya Norazmahwati Abd Aziz berkata, kasih sayang dan sokongan diberikan kedua ibu bapa serta orang sekeliling membuatkan dirinya jadi lebih positif.

“Tipu kalau saya cakap tak rasa apa-apa. Saya juga manusia biasa yang punya hati dan perasaan. Cuma, saya selalu berfikiran positif.

“Dalam masa sama, saya sangat bertuah kerana ada orang sekeliling yang sokong dan sayang kita. Macam kedua ibu bapa saya, mereka sentiasa sokong apa saya buat dari hari pertama menjadi penyanyi sampai sekarang.

“Jadi, apabila saya terbabit dalam pertandingan Gegar Vaganza 5, kena buang jauh semua masalah ini. Kalau tak, rugi saja saya habiskan masa dan tenaga untuk masuk pertandingan ini sekiranya tak buat yang terbaik,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya mengenai status perkahwinan, Noryn berkata, dia hanya mampu berserah kepada Allah dan menunggu keputusan mahkamah.

“Saya dinasihati peguam untuk tidak bercakap apa-apa mengenai kes ini. Bimbang saya tersalah cakap. Lagi pula, ia masih dalam proses perbicaraan.

“Bagi yang kenal saya, selama ini saya jenis yang jarang berkongsi kisah peribadi. Cuma, apabila ini terjadi, nak tak nak saya kena berdepan juga. Tetapi, tak ada apa yang boleh dikongsikan lebih lanjut.

“Saya menyerahkan perkara ini pada Allah. Dia saja tahu bila ini akan berakhir. Masalah ini bukan membabitkan saya saja, tetapi banyak pihak. Apa yang perlu dibuat sekarang, bertenang dan banyakkan berdoa. Tunggu saja apa keputusan mahkamah nanti,” katanya.

Mengenai tindakan suaminya memfailkan nusyuz terhadap dirinya, Noryn berkata, dia tidak menjangkakan perkara itu.

“Apa yang datang saya tak jangka dan fikir sama sekali. Ia macam itu saja. Jadi, nak cakap macam mana lagi?” katanya.

Pasangan itu berkahwin pada Januari 2010.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 1:19 PM