SALWA Abdul Rahman. FOTO Zunnur Al Shafiq
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PENYANYI era 1980-an, Salwa Abdul Rahman, 52, menyifatkan dia bertuah kerana suaminya, Subadron Abdul Aziz, 53, yang juga bekas pemain bola sepak Kuala Lumpur bukan lelaki mata keranjang.

Ia dibuktikan dengan keharmonian rumah tangga yang dibina pasangan itu selama 27 tahun sejak 1991 dan diperkukuhkan dengan kehadiran dua cahaya mata iaitu Puteri Sulaikha, 20, dan Putera Sufrie, 17.

Salwa berkata, apabila seseorang artis sepertinya bertemu jodoh dengan pemain bola sepak, memang tidak dinafikan tanggapan segelintir masyarakat agak negatif.

Menurutnya, dia menyedari ada pendapat mengatakan jodoh artis dan pemain bola sepak susah untuk bertahan lama kerana sikap mata keranjang atau kaki perempuan yang dilabelkan.

“Saya pun pernah melalui pengalaman ini pada fasa awal perkahwinan dengan suami apabila ada beberapa wanita tampil mengaku mereka pernah menjadi teman rapat Subadron.

“Sebagai artis dan wanita yang berkahwin pada usia muda dan masih di puncak populariti ketika itu, tidak dinafikan saya berasa sangat geram. Namun, mujur tidak cepat melatah.

“Ini kerana, suami menyakinkan saya adalah pilihan hatinya maka kami bernikah untuk menghalalkan hubungan cinta dibina. Saya pun sangat mengenali keperibadian suami termasuk rapat dengan keluarganya terutama ibu bapa mentua,” katanya.

Menurut Salwa, dia sangat bersyukur kehadirannya dalam keluarga Subadron diterima baik dan direstui.

Katanya, dalam kehidupan rumah tangga dibina memang ada pasang surutnya, namun dia selesa bersikap tenang dan positif.

“Saya dan suami selama 27 tahun hidup bersama saling mempercayai, menghormati dan boleh kata susah senang bersama.

“Bahkan, suami pun tidak halang saya untuk teruskan karier nyanyian. Syukur juga hingga kini, saya masih terima tawaran menyanyi,” katanya.

Pada zaman kemuncaknya, Salwa pernah popular dengan lagu seperti Cubit-Cubit Sayang, Satu Dua Kau, Rindu Merindu dan Bohong Ah Bohong.

Salwa juga pernah merakamkan dua lagu yang didedikasi kepada suaminya Subadron iaitu Bintang Sukan Ku dan Bintang Di Sayang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 12:39 PM