NEVES.
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my

Kejayaan menawan Everest Base Camp (EBC) lebih sebulan lalu adalah kenangan manis bagi Neves. Setiap kali teringat kembara itu, senyuman puas menguntum di bibirnya.

Vokalis kumpulan Pretty Ugly itu mengakui tidak menyangka dapat berada di lokasi itu selepas terkandas selama enam hari di Kathmandu berikutan cuaca buruk.

Semangat yang berkobar-kobar tidak mematahkan semangatnya untuk meneruskan perjalanan. Neves yang ditemani isterinya, Noorliana Umar akhirnya membuat keputusan menyewa sebuah jip untuk ke Lukla.

Kata Neves, mereka bercadang menyambut Hari Malaysia di EBC pada 16 September, malangnya perancangan itu tidak menjadi. Pun begitu, Neves atau nama penuhnya Raizan Zainal Abidin lega perjalanan mereka tiada halangan.

“Selepas enam hari terkandas, saya dan isteri memutuskan untuk menaiki jip ke Lukla. Perjalanan sepatutnya hanya lapan jam tetapi disebabkan cuaca buruk dan jalan raya di lereng bukit, maka perjalanan jadi 12 jam.

“Walaupun impian menyambut Hari Malaysia di EBC tidak kesampaian, saya tetap lega dan gembira kerana berjaya tiba di lokasi itu. Sepanjang aktif dengan aktiviti mendaki, ini adalah pencapaian terbesar saya,” katanya.

Membuat persiapan sebulan sebelum memulakan pendakian, Neves berkata, mereka ke sana tanpa bantuan potter dan pemandu jalan. Mereka melakukan cabaran itu berpandukan kajian yang dibuat sendiri serta hasil perkongsian daripada mereka yang berpengalaman.

Kata Neves, mereka merancang ke sana dengan pakej yang disediakan. Namun perjalanan yang sudah ditempah itu bagaimanapun terpaksa dibatalkan atas sebab tertentu.

“Pakej yang kami ambil itu memang termasuk potter dan pemandu jalan tetapi apabila perjalanan pada tarikh itu dibatalkan, maka saya dan isteri memutuskan untuk pergi sendiri.

“Macam saya jelaskan tadi, kami buat kajian dan bertanya kepada mereka yang pernah sampai ke EBC. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar,” katanya.

Berkongsi pengalaman sepanjang pendakian, Neves berkata, dia bertuah kerana tidak diserang penyakit altitud yang teruk. Malah, penggunaan beg jenama Deuter memudahkan perjalanannya. Menjadi duta jenama berkenaan awal September lalu, itu adalah pertama kali dia membawa beban seberat 16 kilogram dalam tempoh yang lama.

“Saya memang sudah lama menggunakan beg Deuter. Memang memudahkan pendakian sebab tali yang mencengkam bahu tidak terasa sangat. Bayangkan saya bawa beg seberat 16 kilogram ketika mendaki. Kalau beg biasa akan rasa sakit di bahu,” katanya.

Aktif mendaki sejak 2013, Neves bercadang untuk kembali mengayuh basikal tahun depan.

Selain itu, Neves turut memaklumkan Pretty Ugly akan tampil dengan lagu baru tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 November 2018 @ 11:51 AM