Amyza Adnan. FOTO IG
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


PELAKON Amyza Adnan, 42, meminta peminat berhenti mengaitkan 'posting' foto terbaru yang dimuatnaik di laman sosialnya hari ini dengan mana-mana usahawan kaya popular yang berkaitan.

"Saya tidak tahu menahu mengenai isu yang berlaku pada masa ini terutama mengenai tindakan 'usahawan' itu yang didakwa menjatuhkan maruah mereka yang berkulit gelap di sebuah rancangan hiburan tempoh hari.

"Foto yang saya muat naik hari ini adalah karakter terbaru untuk filem komedi terbaru berjudul Autumn In Wales #CintaMestiMenang," katanya.

Katanya, dalam filem itu dia memegang watak wanita kaya tetapi 'bodoh' yang tidak berkaitan dengan sesiapa pun sama ada hidup atau mati.

Ditanya sama ada isu dibangkitkan Amyza hanya dibuat-buat dan mahu membalas dendam susulan pernah menegur usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri pada Februari lalu, pelakon itu menafikannya.

Katanya, dia sentiasa sibuk di set penggambaran dan hampir tiada masa untuk mengambil tahu isu-isu yang diperkatakan netizen masa ini.

Malah 'posting' terbarunya itu adalah sebahagian daripada tuntutan promosi belakang tabir filem arahan Rahila Ali yang dijangka ditayangkan pada Jun, tahun depan.

Februari lalu, Amyza pernah menegur usahawan itu yang didakwanya tiada bakat dalam bidang seni dan sekadar menggunakan wadah hiburan untuk memperluaskan empayar perniagaan semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 6:29 PM