RAJA Mukhriz (duduk tengah) bersama barisan pelakon filem Tujuh dan Ketua Pegawai Eksekutif Primework Studios, Datuk Ahmad Izham Omar (duduk dua dari kanan).
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Selepas kejayaan filem Ophilia mengenai budaya punk dua tahun lalu, pengarah terkenal, Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin muncul dengan buah tangan terbaru iaitu Tujuh.

Filem genre seram terbitan Primeworks Studios yang akan menemui penonton mulai esok menampilkan barisan pelakon hebat seperti Johan A’sari, Pekin Ibrahim, Aeril Zafrel, Siti Saleha, Cristina Suzanne, Marsha Milan, Riz Amin, Deedee Nash dan Faizal Hussein.

Melihat pola perubahan positif industri perfileman apabila banyak filem tempatan mencatat kutipan tinggi membuatkan Raja Mukhriz yakin filem arahannya itu mempunyai tempat istimewa di hati penonton.

Raja Mukhriz berkata, walaupun berdebar, dia teruja menantikan maklum balas penonton untuk melihat filem pertama arahannya itu diterima ramai.

“Saya gembira kerana Tujuh bakal ditayangkan ketika industri filem sudah mula berubah ke arah positif yang menyaksikan lebih ramai masyarakat mahu datang ke panggung menonton filem tempatan.

“Saya harap momentum ini tidak hanya terhenti untuk filem Munafik 2, Hantu Kak Limah dan Paskal saja,” katanya.

Raja Mukhriz mengakui dia kurang meminati genre seram tetapi disebabkan jalan cerita filem terbabit membuatkan dia mahu mencabar dirinya.

“Filem seram bukanlah pilihan saya, tapi inspirasi filem Tujuh ini datang daripada pengalaman saya sendiri sewaktu kecil. Sejak dulu, saya memang suka menghasilkan filem yang bersifat ‘local’ atau tempatan kerana ia lebih dekat dengan masyarakat kita.

“Walaupun Tujuh bukan kisah hantu tradisional seperti langsuir atau puntianak, namun ia mempunyai mesej tersendiri,” katanya.

Sebagai karya seram dan penuh aksi mendebarkan, Tujuh tidak terlepas pemotongan beberapa babak oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF)

“Sebanyak 13 babak dipotong tetapi ia hanya membabitkan babak dari sudut rakaman kamera. Ia memberikan sedikit kesan dari segi kesinambungan, tetapi tidak langsung menjejaskan jalan cerita,” katanya.

Filem seram berlatarkan pada era 1970-an itu mengisahkan tujuh remaja yang menghabiskan percutian semester mereka dengan mengadakan parti liar di sebuah rumah persinggahan keluarga di atas bukit.

Rumah itu dijaga tok batin dan anaknya, Suri.

Parti liar itu menjadi tidak terkawal apabila seorang daripada mereka merogol Suri. Sebaik saja parti itu tamat, Suri bersemuka dengan kumpulan remaja itu dan berjanji akan membalas dendam. Suri kemudian terjun membunuh diri.

Amaran yang dirasakan hanya gurauan itu menjadi benar apabila seorang daripada remaja itu iaitu Yasmin dijumpai mati tergantung keesokan harinya.

Siti Saleha jadi lesbian

Buat kali pertama, pelakon berdarah kacukan Melayu dan Inggeris ini membawa peranan sebagai lesbian bernama Tina.

Saleha berkata, dia bersetuju menerima tawaran melakonkan peranan lesbian kerana watak terbabit adalah salah satu peluang untuknya menerokai sisi baharu dalam lakonannya.

Menurut Saleha, Tina memerlukan dia ‘merogol’ Suri.


SITI Saleha pertama kali bawa watak gadis lesbian.

“Saya langsung tidak terfikir mengenai kontroversi yang akan timbul. Bagaimanapun, saya sedia berdepan kritikan orang ramai terhadap watak Tina itu nanti.

“Jujur filem ini memberi saya satu pengalaman baru. Saya berpeluang meneroka karakter yang belum pernah lakukan. Mujur semuanya berjalan lancar dan saya tak sabar nak tunggu respon peminat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 November 2018 @ 10:00 AM