Azharina bimbang penerimaan bimbang. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


WALAUPUN sudah 18 tahun dalam industri seni tanah air, penyanyi Azharina Azhar mengakui sehingga ke hari ini masih bimbang dengan penerimaan umum setiap kali menghasilkan lagu baharu.

Tampil dengan single baharu berjudul Lakar Janji, penyanyi itu bagaimanapun bersyukur dengan kelompok peminat yang memberikan sokongan penuh sejak awal pembabitannya.

“Setiap kali tampil dengan lagu baharu pasti bimbang sama ada naskhah itu bakal diterima baik oleh umum mahupun sebaliknya. Rasanya, mana-mana penyanyi pun akan ada perasaan yang sama.

“Bagaimanapun, saya cukup bersyukur mempunyai kelompok peminat tegar yang sentiasa memberikan sokongan pada kerjaya. Lagu itu mungkin orang akan dengar tetapi kekerapan itu semuanya berdasarkan pada promosi,” katanya.

Sama ada lagu berkenaan mampu menandingi kehebatan naskhah Elegi Sepi, Azharina menyerahkan perkara itu pada rezeki.

Katanya, dia berharap Lakar Janji mampu mengulangi kejayaan karya berkenaan bagaimanapun dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi.

“Sehingga ke hari ini, dalam setiap persembahan, tetamu tetap minta saya nyanyikan lagu Elegi Sepi. Saya ada lagu lain seperti Tsunami Kasih, Rawan dan Cinta Terbagi Dua tetapi orang tetap ingat Elegi Sepi.

“Saya tidak berani cakap benda yang tidak pasti. Sama ada Lakar Janji boleh jadi lagu hits dan menandingi Elegi Sepi, itu semua adalah rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 7:51 PM