Pablo Amirul pada cabaran Bee Man Challenge di Taman Botanikal, Ayer Keroh. FOTO MUHAMMAD ZUHAIRI ZUBER
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


“HAMPIR pengsan apabila kena 5 ke 10 sengatan di kepala,” kata Amirul Hisyam Mohd Sakri atau Pablo Amirul, 34, ketika menceritakan detik mencatat sejarah disenarai dalam Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi pencapaian Bilangan Lebah Terbanyak Pada Badan Manusia kategori Lelaki bersama-sama pelawak, Shuib Sepahtu di Ayer Keroh, Melaka, semalam.

Pelakon filem Polis Evo itu ketika dihubungi, berkata dalam cabaran itu, dia dihurungi lebih 240,000 ekor lebah dalam cabaran selama 30 minit manakala Shuib dihurungi lebih 100,000 ekor lebah, menjadikan jumlah keseluruhan 340,000 ekor.

“Idea gila ini datang bulan lalu daripada syarikat Madu Tiga Sdn Bhd yang mana saya dilantik sebagai Duta Selebriti bersama-sama Shuib.

“Sebelum ini pemilik syarikat pernah mencatat rekod 50,000 ekor lebah dan dia mencabar kami untuk melakukan lebih 100,000 ekor sekali gus memecah rekod MBOR,” katanya.

Katanya, ketika dia mulai merasai sengatan di leher, kaki, ketiak dan belakang badan, semua ahli lembaga pengarah syarikat itu terus memberi motivasi dan sokongan kepadanya.

Pablo berkata ikutkan kemampuan, dia dan Shuib mahu memecah rekod dunia yang pernah mencatat 600,000 ekor pada satu masa.

Namun disebabkan tidak ada persiapan serta rehat yang cukup, hasrat itu terpaksa ditunda.

Katanya, oleh kerana boleh pergi jauh, dia ada perancangan untuk pecah rekod dunia jika diberi peluang sekali lagi.

“Tambahan pula melihat pada keupayaan saya semalam, saya rasa boleh pergi jauh dengan jumlah lebah yang lebih banyak kalau cukup tenaga dan rehat," katanya mengalami demam panas dan lebam seluruh badan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 3:35 PM