AALAN (kiri) bersama Zamani pada sidang media selepas konsert Gegar Vaganza 5 pada Ahad lalu.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


SEGALA urusan membabitkan kerjaya seni penyanyi Zamani sepanjang pembabitannya dalam program Gegar Vaganza 5 di bawah tanggungjawab pengurus, Aalan Ahmad dan bukannya, Johan Aziz.

Zamani, 47, atau nama sebenarnya Zamani Ibrahim berkata, beliau perlu memberi penjelasan sebenar bagi mengelakkan timbul sebarang kekeliruan dalam kalangan banyak pihak.

“Saya sedar isu ini pun orang sedang perkatakan. Saya tak nak ambil risiko cerita panjang lebar. Apa saya boleh katakan, Aalan bertanggungjawab bawa saya dalam program ini. Dia juga urus segala-galanya dari awal sampai sekarang.

“Sementara Johan pula pengurus saya dari zaman Slam lagi. Buat masa ini, status Johan saya masih anggap (sebagai) pengurus selagi belum ada kata sepakat diambil untuk perkara lain.

“Memandangkan saya masih dalam pertandingan, jadi fokus saya di sini dulu. Segala urusan dan tanggungjawab sepanjang program memang kena terus kepada Aalan,” katanya.

Kekeliruan siapa pengurus kepada Zamani sekarang timbul apabila Johan dan Aalan mengeluarkan kenyataan berbeza mengenai status penyertaan Zamani dalam program terbabit selepas gagal membuat persembahan pada konsert minggu kelima.

Ketika itu, Zamani yang sepatutnya menyampaikan lagu Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta tidak dapat menyanyikan lagu itu akibat masalah kesihatan dan kehilangan suara.

Sementara itu, Aalan mengesahkan vokalis kumpulan Slam yang popular menerusi lagu Gerimis Mengundang dalam proses menandatangani kontrak di bawah syarikat pengurusannya.

“Buat masa ini, Zamani tidak ada apa-apa kontrak dengan Johan. Dia kini dalam proses menandatangani kontrak dengan saya iaitu di bawah pengurusan saya. Itu status sekarang.

“Selepas program ini pun, Zamani dengan saya. Secara rasmi, kena selesaikan program ini dulu. Cuma, sekarang memang ke arah itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 November 2018 @ 11:45 AM