Single Dan Ketika Itu trending di tangga teratas. FOTO Youtube
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


PENYANYI Zulin Aziz terharu single baru Dan Ketika Itu menduduki tangga pertama carta Trending dalam tempoh tiga hari dimuatnaik di YouTube.

“Allahuakhbar, terima kasih. Tak tahu nak cakap apa dah,” tulisnya di Instagram.

Setakat ini, Dan Ketika Itu sudah ditonton lebih 887,000 kali sejak dilancarkan 2 November lalu.

Menerusi status lain, Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abd Aziz, berkata rasa sebak apabila mesej lagu itu berjaya disampaikan kepada pendengar.

“Terharunya bila apa yang saya cuba sampaikan sampai kat hati anda dan turut merasai apa yang saya rasa.

“Allah tahu niat saya, Allah tahu apa tujuan saya. Terima kasih atas doa kalian.

“Allah mendengar doa saya kerana mohon temukan dengan jodoh. Maka Dia jauhkan saya dari lelaki itu,” katanya.

Ujar pengacara berusia 28 tahun itu lagi, lagu berkenaan antara cara dia berdakwah kepada orang ramai.

“Hari ini, saya nampak betapa mulianya rakyat Malaysia. Walaupun tidak kenal saya secara peribadi, tetapi bersama-sama merasakannya.

“Kita hanya merancang, yang terbaik dari Mu ya Allah ya tuhanku.

Pada asalnya, lagu Dan Ketika Itu

dihasilkan untuk majlis perkahwinan Zulin dan kekasihnya yang sepatutnya berlangsung bulan lalu.

Bagaimanapun, perkahwinan pasangan terbabit dibatalkan dan Zulin mengubah lirik lagu itu sebagai doa buat individu yang pernah berdepan pengalaman sama.

Lagu dan video muzik istimewa itu hanya akan dilancarkan di YouTube sahaja sebagai kenangan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 5:21 PM