MELDA bersama Zizan Razak. FOTO Ihsan Instagram MeldaAhmad
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


PENYANYI Melda Ahmad mengakui tidak berkecil hati walaupun dia tidak terbabit dengan pembikinan klip video lagu Kau Takkan Tahu.

Melda yang merakamkan vokalnya untuk single itu bersama Zizan Razak berkata, perkara berkenaan atas keputusannya yang ketika itu sibuk dengan komitmen lain.

“Lagu itu sudah lama siap tetapi disebabkan Zizan sibuk dengan banyak projek lain maka ia tersimpan buat seketika. Ketika itu, anak saya pula masih kecil dan saya harus memberikan tumpuan kepadanya.

“Tidak mahu menyusahkan ramai pihak, saya katakan kepada mereka kalau ada klip video, teruskan saja tanpa kehadiran saya. Apa pun, saya bersyukur video itu sudah mendapat lebih dua juta tontonan di YouTube,” kata wanita itu.

Selepas beberapa tahun memperlahankan langkah di arena seni tanah air, Melda gembira dan terharu kerana sehingga ke hari ini masih ada yang mengingatinya.

“Saya tidak sangka walaupun awalnya pemilik suara wanita itu dirahsiakan dan ‘hint’ yang diberikan hanyalah nama Melda tetapi ramai yang meneka dengan betul penyanyi berkenaan ialah saya.

“Saya harus berterima kasih kepada Alif dan Ariz kerana memberikan saya peluang menyanyikan lagu berkenaan,” kata Melda.

Dalam perkembangan lain, Melda bakal merakamkan semula dua lagunya iaitu Putus dan Kimia.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 2:29 PM