AFGAN menyifatkan konsert ini sangat peribadi buatnya.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my

Walaupun dihambat isu tiket mahal, ia tidak menghalang lebih 2,000 peminat hadir memenuhi Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi menyaksikan Konsert Dekade Afgan Live in Kuala Lumpur 2018, malam kelmarin.

Penonton yang hadir bukan saja dalam kalangan peminat tempatan, tetapi dari Brunei, Singapura dan Indonesia.

Konsert bersempena 10 tahun pembabitan Afgan dalam bidang muzik berlangsung selama hampir tiga jam itu dimulakan dengan lagu Jalan Terus yang memperlihatkan kemampuan vokal penyanyi asal Indonesia itu.

“Ramai yang bertanya kenapa tidak buat konsert sempena ulang tahun ke-10 saya ini di Jakarta?

“Memang sepatutnya dibuat di sana pada Februari lalu tetapi ditunda ke September. Kemudian ada pula Sukan Asia ke-18 dan banyak penaja fokus kepada sukan itu, jadi saya fikir mengapa tidak sambut saja di Malaysia,” katanya.

Katanya, konsert ini begitu peribadi baginya kerana ia adalah tanda penghargaan kepada semua peminat.

Dia akui mahu membawa penonton mengikuti perjalanan kerjaya di dalam industri muzik selain berkongsi perasaan serta pengalaman selama 10 tahun bergelar anak seni.

Antara lagu dipersembahkan adalah Roller Coaster, Pesan Cinta dan beberapa rendisi lagu yang pernah dipopularkannya sejak album pertama pada 2008 seperti Entah dan Jodoh Pasti Bertemu.

Afgan turut menyampai lagu penyanyi pujaannya, Datuk Sheila Majid berjudul Ku Mohon.

Bagaimanapun, sebelum menyampaikan lagu Bawalah Cintaku yang juga duet pertamanya dengan Sheila, Afgan agak sedih kerana penyanyi itu tidak dapat bersamanya.

“Agak sedih tak dapat berduet dengan Kak Sheila yang saya sudah anggap seperti keluarga sendiri untuk lagu ini.

“Beliau juga sedih tapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana beliau sudah ada program lain yang sudah dirancang lama di Indonesia,” katanya.


SISTEM audio, pencahayaan dan layar LED melatari konsert Dekade Afgan Live In KL bertaraf antarabangsa.

Bagi meneruskan persembahan, dia menyampaikan lagu duet itu melalui rakaman visual dan vokal yang sudah dirakam awal.

Seperti dijanjikan, di pertengahan konsert, Afgan akhirnya berkongsi kisah peribadi yang jarang diketahui ramai antaranya kisah bagaimana dia dikesan bakat ketika sedang berkaraoke buat kali pertama di sebuah pusat karaoke di Jakarta sekitar tahun 2007.

Malah, tanpa berselindung dia turut berkongsi isu buli serta depresi yang pernah dilalui ketika zaman sekolah sehingga kini.

“Pasti ramai tidak percaya saya pernah lalui depresi sehinggakan pernah terfikir tidak mahu meneruskan bidang nyanyian.

“Perasaan itu terbawa-bawa kerana saya pernah dibuli pada zaman persekolahan dan melihat semua mata memandang seolah-olah saya sedang dihukum,” katanya.

Namun, dia menetapkan pendirian dan terus menolak diri supaya melakukan pembaharuan untuk keluar dari masalah itu.

Selain itu, penyanyi ini turut menyampaikan lagu Heaven daripada album terbaru Dekade selain menyampaikan lagu Remember The Time nyanyian asal Michael Jackson dan Can We Talk (nyanyian asal Tevin Campbell) dengan gaya tersendiri.

Kemunculan kumpulan R & B popular, Ruffedge menyampaikan lagu I’ll Make Love To You (nyanyian asal Boyz II Men ) secara berduet dengan Afgan membuatkan sebahagian peminat mereka ‘histeria’.

Malah, ketika Ruffedge menyanyikan lagu Bila Rindu mendapat sorakan gemuruh daripada penonton yang hadir yang pada awal agak ‘sepi’ kerana beberapa rendisi lagu nyanyian Afgan agak asing di telinga peminat tempatan.

Konsert berakhir kira-kira jam 11.45 malam dengan lagu ‘berhantu’ Afgan yang turut dinyanyikan bersama-sama peminat berjudul Panah Asmara, Bukan Cinta Biasa dan Terima Kasih Cinta.


KEMUNCULAN Ruffedge menyanyikan lagu Bila Rindu menggamatkan dewan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 November 2018 @ 10:49 AM