MISTY (tengah) meneruskan legasi.
Amirul Haswendy Ashari.
haswendy@hmetro.com.my


Bagi peminat balet, Misty Copeland mencatat sejarah sebagai penari balet utama pertama keturunan Afrika Amerika yang bergiat aktif dalam Teater Balet Amerika.

Kini, dia membawa legasinya ke skrin besar pula melalui filem terbaru sempena musim cuti The Nutcracker and The Four Realms.

Cerita The Nutcracker sudah lama berkembang ke dalam budaya popular sejak tercipta pada awal 1800 tapi filem terbaru terbitan Disney ini menyasarkan ia relevan pada 2018.

“Judul ini adalah wadah sempurna untuk mereka yang mahu melangkah masuk ke panggung dan belajar mengenai balet atau pertama kali menontonnya.


KEIRA sebagai The Sugarplum.

“Apatah lagi dengan penari balet berkulit hitam, ia lebih gila! Generasi seterusnya akan melihat saya di sana dan berfikir itu adalah perkara biasa atau begitulah rupa balet sepatutnya atau ini adalah satu perkembangan baik,” kata Misty.

Penari yang kini bergelar pelakon memegang watak utama dalam filem rantaian balet pertama yang bercerita mengenai bagaimana empat alam dalam filem ini ditemui melalui tarian.

Melihat persembahan Misty ialah Clara (Mackenzie Foy) sebagai watak protagonis utama yang mesti mencari kunci hilang untuk mengelakkan dunia fantasi mereka daripada dimusnahkan.

Berlakon bersama mereka ialah Jayden Fowora-Knight yang memegang watak Philip, askar ‘nutcracker’ yang menemani Clara dalam pengembaraannya mencari kunci yang hilang.

Jayden ketika ditanya media antarabangsa mengenai kepelbagaian dan pengiktirafan oleh industri filem terhadap artis dari pelbagai latar belakang, dia berkata sudah tiba masanya.

“Ini 2018, beginilah keadaannya pada masa ini. Kita ada kepelbagaian di TV, di filem dan di mana-mana saja. Semua orang mewakili sesuatu atau seseorang dan ia perkara yang menarik,” kata Jayden.

Dalam pada itu, produser eksekutif filem, Sara Smith turut bercakap mengenai kepentingan projek membawa pelakon daripada pelbagai latar belakang.

“Kami mahu filem ini dilihat seperti dunia pada hari ini. Kita tidak mahu lagi tinggal pada masa silam kerana kami mahu menjadi sebahagian daripada masa kini dan masa depan kerana inilah dunia kita.

“Disebabkan itu, kami sangat mengambil berat mengenai perkara ini dan hasilnya kami mendapat barisan pelakon yang hebat,” katanya.

Filem ini secara keseluruhan adalah berdasarkan novel pada 1816 berjudul The Nutcracker and the Mouse King. Namun, cerita ini tidak dimasukkan sebarang babak balet atau watak untuk Misty sehinggalah pihak produser mengambil keputusan memasukkan wataknya ke dalam penceritaan filem.

The Nutcracker and the Four Realms dibintangi Misty, Mackenzie Foy, Morgan Freeman, Helen Mirren, Keira Knightley, Jayden Fowora-Knight dan Eugenio Derbez.

Ia diarahkan Lasse Hallstrom dan Joe Johnston bakal ditayangkan di Malaysia bermula hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 November 2018 @ 9:01 AM