ZIZAN (kiri) dan Mira. FOTO arkib NSTP
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON dan pengacara, Mira Filzah, 25, menegaskan selagi dia atau pun keluarganya tidak membuka mulut berkongsi kisah perkahwinan, bermakna perkara itu tidak betul.

Mira berkata soal membabitkan perkahwinan baginya adalah perkara yang sangat besar dan terlalu peribadi.

“Jadi, orang luar tidak patut lebih tahu daripada saya sendiri. Ini tidak, nampaknya orang luar yang lagi banyak tahu.

“Pada hal, untuk saya selaku empunya diri memang tak tahu apa-apa. Namun, mujur keluarga saya faham situasi sebenar,” katanya

Mengulas mengenai sikap keterbukaannya berkongsi cerita peribadi, pengacara Nona di TV3 ini memberitahu perkara peribadi baginya tetap peribadi.

“Saya hanya sedia untuk berkongsi mengenainya (peribadi) apabila sampai masa dan tidak akan sesekali menyorokkan perkara itu.

“Tapi, apa yang masih lagi bersifatkan peribadi dan sememangnya sulit, saya takkan sewenang-wenangnya nak mendedahkan kepada orang ramai.

“Apa pun kalau betul-betul sudah sah dan sampai masanya, saya pasti akan beritahu. Namun, sekarang memang tidak ada apa-apa,” katanya.

Sejak beberapa bulan lalu, heboh diperkatakan Mira kini hangat bercinta dengan pelakon dan terkenal, Zizan Razak.

Hingga timbul khabar angin mendakwa pasangan selebriti kesukaan ramai ini sekarang sibuk membuat persiapan perkahwinan mereka.

Bagaimanapun, Mira atau nama sebenar, Nur Amirah Filzah Badioezaman memberitahu jadual kerjanya sangat padat untuk tahun ini

“Boleh dikatakan sampai sekarang, saya belum ada masa untuk berehat kerana urusan kerja yang banyak.

“Selain mengacarakan Nona, saya juga masih menerima tawaran berlakon drama dan akan muncul produk baru untuk slot Akasia.

Mira yang baru-baru ini muncul dengan filem Rise Ini Kalilah lakonannya di pawagam memberitahu drama terbarunya disiarkan TV3 nanti ialah Pujaan Hati Kanda.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Oktober 2018 @ 7:36 PM