Pengarah filem Tujuh, Raja Mukhriz. FOTO NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


FILEM Tujuh arahan Raja Mukhriz Raja Ahmed Kamaruddin yang akan ditayang di pawagam tempatan bermula 8 November depan tetap relevan walau pun tersimpan hampir lima tahun.

Raja Mukhriz yang juga pengarah fotografi popular, berkata latar 1970-an dijadikan premis filem itu adalah malar segar serta mempunyai penceritaan yang dekat dengan zaman ini.

Malah penceritaan filem itu disifatkannya sangat dekat dengan dirinya kerana ia berkait rapat dengan kisah hidup sendiri serta mereka yang rapat dengannya.

"Tidak ada istilah ia tidak relevan kerana Tujuh masih mempunyai tarikan di segi genre seram serta thriller yang bersifat 'anti hero'.

"Apatah lagi barisan pelakon juga mempunyai kedudukan tersendiri dalam industri hiburan berbanding lima tahun lalu," katanya.

Dia tidak menyangka semua barisan pelakon filem itu popular pada masa ini berbanding lima tahun lalu sekali gus mampu menarik perhatian peminat mereka.

Malah dia berbangga ada dalam kalangan mereka meraih pelbagai anugerah dalam bidang lakonan.

Selain itu, Raja Mukhriz turut mendedahkan kebanyakan babak adalah perkara realistik yang pernah berlaku di kalangan anak muda pada era 1970-an dan ia adalah sebahagian kecil dalam penceritaan kisah tujuh watak utama yang hidup pada era berkenaan.

"Pada 70-an, isu rendah akhlak, masalah moral dan pergaulan bebas perkara biasa dan kita tidak boleh menafikannya.

"Filem Tujuh sendiri mengambil latar era itu dengan perincian 'sub-culture' berkaitan termasuklah gaya dan fesyen setiap watak," katanya.

Filem Tujuh arahannya itu muncul selepas Ophilia yang dibarisi pelakon hebat tempatan antaranya Marsha Milan Londoh, Aeril Zafril, Johan As'ari, Siti Saleha, Christina Suzanne, Pekin Ibrahim, Faizal Hussein, Wan Hanafi Su dan ramai lagi.

Bergenre seram thriler, Tujuh terbitan Primeworks Studio akan ditayang di lebih 80 pawagam seluruh negara.

Tujuh mengisahkan tujuh anak muda yang berdepan dengan gangguan menyeramkan selepas mereka mengadakan parti liar di sebuah banglo di pinggir hutan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Oktober 2018 @ 4:53 PM