AZMIRA. FOTO Aziah Azmee
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Diikutkan, Azmir Arif, 35, bukanlah orang baru dalam nyanyian kerana sudah sembilan tahun bergelar anak seni dan pernah merakamkan 14 lagu.

Bagaimanapun, nasib kurang menyebelahinya kerana popularitinya gagal menyerlah apabila memilih nama ini sebagai nama pentas.

Bertitik tolak daripada itu, dia membuat keputusan menggunakan nama sebenarnya Azmira Arif dan ternyata langkah ini membawa tuah buat penyanyi unik ini.

“Memang awalnya saya nak menggunakan nama Azmira tapi ketika itu ada yang berkata ia nama perempuan.

“Nama Azmir pun digunakan selepas mengambil kira pandangan banyak pihak. Namun kali ini saya bertekad nak menggunakan nama Azmira pula.

“Apa yang nak dimalukan kerana ia adalah nama sebenar yang diberikan ibu bapa saya,” katanya.

Menurut Azmira, tiada apa yang dirasakan janggal kerana ia dilihat lebih menghargai nama pemberian orang tuanya.

“Saya nak ambil berkat menerusi nama ini. Mungkin orang rasa pelik kerana sudah biasa panggil saya Azmir.

“Saya bukan nak menidakkan nama Azmir sebagai kurang bertuah atau sebaliknya tetapi rasanya perlu pembaharuan dalam karier.

“Rasanya pertukaran nama ini pun tak jauh bezanya kerana panggilan Azmir dan Azmira seakan-akan sama,” katanya yang pernah menggunakan nama itu ketika tampil dengan album sulung terbitan Adnan Abu Hassan.

Azmira kini hadir dengan single terbaru berjudul Pencinta Setia ciptaan komposer dan penyanyi Asfan Shah serta lirik oleh Fedtri Yahya.

Lagu berentak balada itu seakan-akan memberi sinar buatnya apabila dipilih menjadi runut bunyi drama bersiri Mawar Murni yang sedang disiarkan menerusi TV3.

“Lagu ini lebih ringan berbanding nyanyian saya sebelum ini. Cara nyanyian saya juga amat lain.

“Ia memang sesuai dijadikan runut bunyi drama dan saya sangat bersyukur apabila menjadi pilihan penerbit drama itu.

“Peminat pun boleh nampak perbezaannya kerana dulu saya lebih dikenali dengan genre pop tradisional,” katanya.

Biarpun mencari kelainan, jiwa Azmira masih kekal dengan genre pop tradisional dan akan terus menyanyikan lagu sebegini sekiranya berpeluang.

“Pop tradisional adalah forte saya dan mana mungkin boleh lupakan terus. Cuma, sebagai penyanyi saya kena ada kelainan dan perlu jadi versatil.

“Saya pernah cuba lagu dangdut dan irama Malaysia. Kita perlu pelbagaikan kebolehan kerana apabila buat sesuatu persembahan, cita rasa peminat berbeza.

“Saya rakamkan lagu Pencinta Setia pada Mac lalu. Penggambaran video muzik lirik juga berjaya disiapkan dan sudah dimuat naik di YouTube,” katanya.

Azmira berkata, idea menyanyikan lagu ciptaan Asfan dicadangkan oleh Fedtri yang mahu dia melakukan perubahan dalam kariernya.

“Dia berbincang dengan Asfan untuk berikan lagu kepada saya. Mulanya saya agak keberatan tapi apabila difikirkan apa salahnya mencuba.

“Lagipun, lagu itu memang sedap dan apabila dengar melodinya pun saya sudah tertarik.

“Saya amat berharap peminat dapat menerima lagu ini. Apa yang mereka dengar inilah saya dan bukan klon orang lain,” katanya.

Dalam pada itu, Azmira turut menzahirkan perasaan sedih di atas pemergian komposer lagu irama Malaysia, Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah.

“Saya akan terus menyanyikan lagu irama Malaysia kerana takkan nak berharap pada Kak Noraniza Idris saja.

“Penyanyi muda perlu ada tanggungjawab untuk mengangkat dan terus mengembangkan irama tradisi kita.

“Pemergian Pak Ngah juga buatkan kita kehilangan sesuatu yang berharga. Diharapkan genre irama Malaysia dan pop tradisional akan terus hidup dalam industri seni tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 2:00 PM