XPDC kini menampilkan (dari kir) Lola, Izo, Eddie dan Ali.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Sudah terlalu lama XPDC membuai perasaan peminat menerusi lagu berunsur cinta atau lebih popular dengan gelaran jiwang.

Bagaimanapun, seiring peredaran usia dan masa, elemen cinta yang kerap ditampilkan dalam lagu mereka mula dilupakan.

Kini Izo selaku pemain gitar, Ali (penyanyi), Lola (dram) serta Eddie (bass) lebih selesa membicarakan mengenai hubungan dengan Tuhan serta motivasi diri dalam berdepan musibah.

Inilah yang diperlihatkan menerusi album terbaru mereka berjudul Doa yang bakal berada di pasaran hujung bulan ini.

Namun, buah tangan kelapan itu tetap kekal dengan ‘trademark’ dan ramuan tradisi mereka iaitu heavy metal yang berjaya meletakkan XPDC di hati peminat sehingga kini.

Ali berkata, tiada yang berbeza kerana konsep muzik mereka masih sama seperti album terdahulu.

“Ada lagu heavy, moderate dan perlahan. Imej kami juga tidak berubah dan masih sama. Cuma yang ketara lirik kali ini lebih banyak berunsur nasihat.

“Tidak ada cerita merapu, tapi lebih banyak mengenai kehidupan dan kebaikan berbuat baik sesama makhluk.

“Album Doa mengandungi 11 lagu dengan lirik yang positif dan membina,” katanya.

Izo pula menambah, album Doa sebenarnya bercerita mengenai kehidupan dan lebih kepada menasihati agar melakukan perkara baik.

“Kami saling berkongsi. Apa yang kami tahu, kami kongsi dengan peminat. Kami bercerita benda yang baik dan orang buka radio mereka dengar benda yang baik.

“Sama ada orang nak terima atau tak, itu kerja Allah. Kami sudah puas hati dapat menyampaikan apa yang baik.

“Usia kami pun dah meningkat, takkan masih nak menyanyikan lagu cinta. Peminat pun dah sama usia dengan kami, pasti mereka dapat terima lagu begini,” katanya.

Mengenai peminat generasi baru, XPDC mahu mengajak mereka agar mendekatkan diri kepada Allah.


PENGGAMBARAN video muzik lagu Sentosa.

Album termahal pernah dihasilkan

Album Doa yang diterbitkan menerusi kerjasama XPDC dan Blockchain Island Sdn Bhd serta diedarkan oleh Life Records secara mendalamnya membawa maksud Dakwah Only Allah.

Album yang menjalani proses rakaman di Studio Archive, Damansara mengambil masa lebih dua tahun untuk disiapkan dan menjadi album termahal XPDC.

“Kami sibuk dengan pelbagai aktiviti luar antaranya mengerjakan umrah, mengadakan persembahan di Eropah dan mengikuti misi kemanusiaan di Syria, sekali gus membuatkan proses rakaman tertangguh.

“Selain masa yang panjang, kos pembikinan album Doa jadi mahal kerana kami menggunakan studio yang bagus, mendapatkan jurutera bunyi terbaik dan pelbagai faktor lain.

“Tak terkecuali kami turut menghasilkan 10 video muzik setiap lagu yang ada di antaranya sudah dimuat naik di YouTube,” kata Lola pula.

Ditanya kelebihan mereka sehingga menjadi pilihan Life Records yang sudah menghasilkan tujuh album terdahulu iaitu Darjah Satu (1990), Timur Barat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997), Samurai (1998), V6 (2002) dan Rasopariso (2009), Izo berkata, mereka hanya melakukan kerja yang sepatutnya.

“Kami tak pernah fikir siapa dapat peluang ini kerana yang pastinya kami hanya buat kerja.

“Diakui ramai yang nak berurus niaga dengan Life Records dan lumrah orang berniaga mereka mesti mahu keuntungan.

“Alhamdulillah, kami diberikan kebenaran menggunakan logo asal XPDC yang dipatenkan oleh Life Records. Kami rasa beruntung kerana mereka yakin dengan kami. Apatah lagi XPDC sudah lama dengan syarikat ini,” katanya.

Sementara itu, Ali kembali menganggotai XPDC pada 2014. Dia mengakui pada mulanya berbelah bahagi untuk kembali bersama XPDC.

“Saya terlebih dulu mendapatkan nasihat seorang ustaz dan dia menyuruh saya menerimanya jika itu boleh menjadi cara untuk saya menyampaikan dakwah kepada peminat,” katanya.


PENAMPILAN XPDC menerusi video muzik lagu Akhir Zaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 1:00 PM
Skip this ad x