Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PELAKON, Lana Nodin yang kini hamil tujuh bulan panik apabila mengalami pendarahan secara tiba-tiba ketika sedang bersarapan nasi lemak pagi semalam.

Lana, 38, atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin berkata, itu kejadian pertama dialami selepas dua kali mengandung.

“Pada mulanya saya ingat air ketuban pecah, tetapi tengok balik ia darah. Memang terkejut sebab terlalu banyak hinggakan suami pun panik. Jadi, dia terus bawa saya ke Pusat Perubatan Rampai Puteri, Setapak.

“Alhamdulillah, selepas diperiksa bayi dalam kandungan okay. Kalau ikutkan saya tidak mahu bermalam di wad, tetapi atas nasihat doktor saya kena juga dimasukkan wad dan dibenarkan keluar pagi tadi,” katanya kepada Harian Metro.

Lana yang berkahwin dengan Mohd Daud McKienzie berkata, punca pendarahan akibat diri dan bayi terlalu aktif.

“Bayangkan saya menaiki penerbangan dari Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur selama 24 jam. Sampai di sini, saya tidak duduk diam dan asyik berjalan. Kebetulan saya pun nak pindah rumah.

“Pendarahan bukan sebab pemakanan, tetapi saya terlalu aktif dan tidak cukup rehat. Ketika hamil anak pertama, tidak pernah berlaku perkara ini.

“Risau juga kalau bersalin awal. Doktor memaklumkan bayi sudah 32 minggu, jadi saya kena lebih hati-hati. Doakan semoga bayi dalam kandungan dan proses bersalin nanti dipermudahkan.

“Terima kasih kepada doktor yang merawat saya dari awal kerana sanggup datang meskipun dia tidak bertugas. Tidak dilupakan, keluarga dan rakan terdekat yang memberikan ucapan,” katanya.

Ditanya mengenai jantina anak, Lana belum bersedia untuk berkongsi.

“Nanti dululah. Apa yang penting, doakan kesihatan saya dan bayi,” katanya.

Hasil perkahwinan itu, Lana dan pasangan dikurniakan anak perempuan, Gia Quinn Mckienzie yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Oktober 2018 @ 11:26 AM
LANA Nodin bersama suami Mohd Daud McKienzie dan anaknya Gia Quinn Mckienzie. FOTO Zunnur Al Shafiq