LANA kini hamil lapan bulan mahu lahirkan bayinya di tanah air.
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my


SELEPAS anak sulung Gia Quinn McKienzie mencecah usia hampir tiga tahun, pelakon Lana Nodin dan suami, Mohd Daud McKienzie bakal menimang cahaya mata kedua.

Pastinya pelakon kelahiran Kuching, Sarawak ini sangat teruja hingga sanggup menaiki penerbangan dari Los Angeles, Amerika Syarikat ke Kuala Lumpur walaupun sarat mengandung semata-mata mahu melahirkan anak di sini.

Lana berkata, dia bersyukur kerana tidak berdepan masalah sepanjang mengandung anak kedua ini. Malah bayi dalam kandungan juga agak lasak apabila mampu berjalan jauh dan menaiki pesawat.

Bercerita mengenai jantina bayi yang bakal lahir, Lana yang sebelum ini mengharapkan dikurniakan anak lelaki berkata, dia mahu merahsiakannya dan biarlah ia hanya diketahui apabila bayi itu dilahirkan.

“Biarlah ia menjadi kejutan. Namun, jangan bimbang kerana akan menjemput rakan media untuk melihat sendiri bayi saya selepas selamat bersalin di hospital nanti,” katanya.

Ditanya mengenai reaksi Gia apabila mengetahui dia bakal memiliki adik, Lana berkata, dia nampak ada wujud perasaan cemburu pada anaknya itu.


BERSAMA Gia yang kini berusia 3 tahun.

“Kami ada cara sendiri untuk menguruskan Gia supaya tidak timbul perasaan kononnya dia akan disisihkan selepas adiknya dilahirkan.

“Buat masa sekarang, kebanyakan urusan membabitkan Gia dilakukan Daud. Maklumlah, apabila sudah sarat ini pergerakan saya agak terhad. Kadang-kadang banyak permintaan Gia yang tidak dapat saya tunaikan. Tambahan pula Gia semakin membesar dan agak aktif. Untuk melayani permintaannya itu, sekarang ini tugas diserahkan kepada Daud,” katanya.

Menurut Lana, bukan sebelum ini Daud tidak memberikan tumpuan kepada Gia, malah memang suaminya itu ringan tulang dan banyak membantunya dalam menguruskan hal rumah tangga.

Lana berkata, ia juga dilakukan supaya Gia tidak berasa tersisih dan memastikan hubungan dengan bapanya menjadi lebih rapat.

“Takut juga apabila berpantang lagilah banyak perkara yang saya tidak boleh buat dan bantu Gia dan dalam situasi ini, saya memang bergantung kepada suami sepenuhnya untuk menguruskan anak sulung kami.

“Apabila suami membantu, jadi saya boleh memberikan tumpuan kepada bayi yang baru dilahirkan. Dengan cara ini saja saya rasa jalan terbaik agar Gia tidak berasakan dirinya diabaikan mahupun tersisih dengan kehadiran ahli keluarga baru,” katanya.

Kembalinya ke tanah air, Lana juga seakan memberi bayangan yang dia akan menetap lebih lama di sini apabila memberitahu dalam waktu sama dia sedang sibuk mencari juru

hias rumah untuk menghiasi rumah barunya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 8:15 AM