Nabila terkejut dihujani mesej peminat yang mahukan dia menjalin cinta dengan Sufian. FOTO HM Digital
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PENYANYI Nabila Razali mengaku terkejut apabila dihujani mesej daripada peminat yang teruja dan ingin melihat dia dan penyanyi Sufian Suhaimi menjalin cinta.

Nabila bagaimanapun menjelaskan, hubungannya dengan penyanyi lagu Di Matamu itu hanya sekadar kawan biasa dan tidak lebih daripada itu.

"Saya agak terkejut apabila timbul cerita yang mengaitkan saya dan Sufian bercinta kerana tiada angin tiada ribut tiba-tiba cerita ini timbul.

"Mujur tiada peminat yang marah atau kecam tapi saya menerima banyak mesej yang mengatakan mereka seronok jika kami disatukan.

"Bagaimanapun saya tak rasa kami boleh bersama memandangkan masing-masing kini fokus dengan kerjaya seni nyanyian," katanya.

Menurut Nabila, dia juga ingin menegaskan gosip percintaan antara dia dan Sufian tiada kena mengena dengan gimik untuk single terbarunya, Vroom Vroom yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

"Kalau dulu saya bersama Aedy Ashraf bekerjasama untuk membuat gimik bagi muzik video lagu Pematah Hati kerana dia adalah seorang pelakon.

"Namun tak mungkin saya nak buat gimik dengan Sufian kerana dia bukan seorang pelakon. Apa yang berlaku antara kami memang berlaku secara mengejut.

"Saya dan Sufian hanya berkawan biasa," katanya.

Terdahulu perkongsian gambar bersama di laman sosial masing-masing mencetuskan spekulasi kewujudan hubungan mesra antara dua penyanyi terbabit.

Lebih-lebih lagi apabila Nabila memuat naik gambar dirinya dengan artis lelaki sensasi itu ketika mereka menghadiri malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-31 berserta dengan petikan lagu popular nyanyian Sufian, Di Matamu.

Sufian pula berkongsi gambar mereka berdua pada acara sama dengan kapsyen ‘malu-malu kucing’ yang turut disertakan dengan foto haiwan comel itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 7:49 PM