SEBAHAGIAN pelakon Gol & Gincu Vol 2.
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Filem Gol & Gincu Vol 2 (GGV2) sememangnya dinanti-nantikan penonton tempatan.

Ini kerana selepas kejayaan Gol & Gincu 2005, ramai yang teruja untuk menonton kisah yang mengangkat martabat wanita ini.

Selepas 13 tahun, GGV2 yang diterbitkan Red Films bakal menemui penonton pada 25 Oktober ini.

Penerbitnya, Lina Tan berkata, selepas 13 tahun, mereka berjaya menghasilkan semula filem berkenaan dengan watak utama wanita yang kuat.

“Walaupun mengambil masa 13 tahun untuk menerbitkan semula filem ini, tetapi inilah masa yang tepat kerana saya benar-benar mahu menghasilkan semula filem tempatan dengan watak utama wanita yang kuat.

“Kami ingin meraikan kepelbagaian dan elemen memperkasakan wanita cukup menonjol dalam filem ini,” katanya.

Menurut Lina, GGV2 bukan sambungan atau sekuel daripada filemnya sebelum ini, tetapi ia adalah filem baru yang masih mengekalkan konsep sama.


PENGARAH, Umi Salwana ketika di lokasi.

“Saya mahu tegaskan disini, GG2 bukan sekuel kepada filem sebelum ini tetapi ia filem yang kami ‘reboot’.

“GG2 memaparkan semula kisah pelajar universiti yang terlalu mementingkan diri sendiri dan dunia mereka saja.

“Bagaimanapun, cerita kali ini sedikit berbeza dan menampilkan isu semasa yang membabitkan penggunaan media sosial yang serius dalam kalangan generasi muda hari ini,” katanya.

Filem arahan sulung Umi Salwana Omar itu dibarisi pelakon utamanya iaitu Diana Danielle dan Ummi Nazeera termasuk dua pelakon asalnya Sharifah Amani dan Sazzy Falak.


UMMI bawa watak Yaya.

Ia turut dibintangi Syafiq Kyle, Aedy Ashraf serta wajah baru seperti Jad Hidhir, Intan Serah, Tiara Anchant, Nik Nasuhan, Annabel Michael, Grace Ng dan Iezahdiyana Alaudin.

Diana ketika ditemui berkata, dia teruja sepanjang menjalani penggambaran filem berkenaan kerana banyak mesej positif diketengahkan.

“Saya percaya ramai yang tidak sabar untuk menonton filem ini kerana karya sebelum ini berjaya menambat hati ramai penonton.

“Apa yang membuatkan saya terima tawaran filem ini kerana ia mengajar remaja zaman sekarang mengenai keburukan jangka panjang penggunaan media sosial kepada diri, kerjaya dan keluarga.

“Malah, tema yang diketengahkan sangat relevan dan membantu penonton untuk semakin berhati-hati dengan penggunaan media sosial. Bagaimanapun, naskhah ini masih mengekalkan mengenai sukan futsal, fesyen dan persahabatan seperti filem sebelum ini,” katanya.


DIANA bawa watak Zak.

Sementara itu, Ummi berkata, ketika penggambaran filem itu dia disahkan hamil dua bulan.

Bagaimanapun, dia tidak mengalami sebarang kesulitan dan penggambaran berjalan dengan lancar.

“Penggambaran dilakukan Januari lalu. Alhamdulillah semasa penggambaran saya tak ada sebarang alahan yang mengganggu proses pembikinan filem.

“Cuma saya banyak tidur. Setiap kali ada masa senggang saja tertidur. Alahan tak ada, mungkin sebab masa itu saya banyak berjalan dan buat aktiviti,” katanya.


SAZZY Falak antara pelakon asal yang dikekalkan.

GGV2 mengisahkan Zak (Diana Danielle) dan Yaya (Ummi Nazeera) pelajar yang memiliki nama asal yang sama iaitu Zakiah, tetapi personaliti yang jauh berbeza.

Akibat tercetusnya pergaduhan mereka di khalayak ramai sehingga tular di media sosial, mereka dikenakan tindakan disiplin untuk melakukan kerja amal.

Zak dan Yaya memilih untuk melakukan kerja amal di rumah remaja bermasalah yang dikendalikan Jijie (Sharifah Amani). Pelbagai konflik berlaku ketika mereka cuba membantu Jijie dan semua gadis itu.


SHARIFAH Amani sebagai Jijie.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 6:00 PM