BINGBING
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Sejak berita kehilangannya beberapa bulan lalu tular, pelakon terkenal Fan Bingbing akhirnya dilaporkan muncul semula.

Bingbing, 37, didakwa menghilangkan diri disebabkan berhadapan tuduhan cuba mengelak membayar cukai untuk filem Unbreakable Spirit.

Selain itu, pelakon filem X-Men: Days of Future Past itu dituduh mengambil kesempatan menggunakan konsep kontrak ‘yin-yang’.

Bagaimanapun, dia muncul dengan memuat naik sebuah video permohonan maaf di Weibo, sebuah platform media sosial terkenal di China.

Menerusi video berkenaan, Bingbing menyifatkan tindakannya itu sangat memalukan dan mengakui dia tidak patut melanggar undang-undang.

“Saya rasa sangat malu kerana mengelak cukai dalam filem Unbreakable Spirit dan mengambil kesempatan menggunakan kontrak ‘yin-yang’ untuk beberapa projek.

“Sepanjang bekerjasama dengan pihak berwajib percukaian dalam proses siasatan terhadap akaun serta syarikat saya, baru saya sedari banyak perkara.

“Sebagai selebriti, saya sepatutnya peka dengan undang-undang dan menjadi contoh kepada masyarakat dan industri hiburan.

“Saya tidak seharusnya gagal mengawal nafsu diri demi kepentingan ekonomi sendiri sekali gus melanggar undang-undang. Di sini, saya memohon jutaan maaf kepada masyarakat dan rakan yang mengambil berat serta pihak berwajib percukaian itu,” katanya.

Dalam pada itu, Bingbing sedia bekerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa dan berjanji akan membayar penalti untuk kesalahannya itu.

“Saya akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk penalti berkenaan. Saya merancang membuat kutipan dana bagi membayar cukai dan penalti itu walau apa juga halangan sekalipun,” katanya.

Sehari selepas berita permohonan maafnya itu, Bingbing dilaporkan dibebaskan dari lokasi rahsia tempat dia ditahan untuk proses siasatan. Pelakon itu kemudian dikatakan pulang ke rumahnya di Beijing.

Turut tersebar adalah foto dia muncul di lapangan terbang Beijing dengan memakai kaca mata gelap dan topi. Bagaimanapun, tiada pengesahan rasmi dibuat setakat ini sekiranya wanita berkenaan adalah Bingbing.

Sementara itu, projek filem terbarunya berjudul 355 dijadualkan bakal memulakan penggambaran pada musim bunga nanti.

Bagaimanapun, belum ada kenyataan rasmi jika dia masih terbabit dalam projek terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Oktober 2018 @ 10:10 AM