NABIL Ahmad. FOTO arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PENGACARA dan pelawak terkenal, Nabil Ahmad dinobatkan sebagai Pengacara Hiburan Terbaik pada Anugerah Asian Academy Creative Awards (AAA) yang berlangsung di Cannes, Perancis pada Isnin.

Nabil, 35, atau Ahmad Nabil Ahmad berkata, pengiktirafan itu adalah pencapaian tertinggi diterima sepanjang 10 tahun berada dalam dunia hiburan tempatan.

“Sejujurnya, saya baru tahu mengenai perkara ini daripada Instagram Pak Nil (Datuk Aznil Nawawi) dan Kak Z. Malah, saya pun baru tahu adanya anugerah ini di peringkat Asia. Jadi, apabila diberitahu menang saya memang terkejut dan tidak menjangka.

“Sebelum ini saya menang kategori pilihan peminat dalam negara saja. Tidak pernah terfikir akan pergi sejauh ini apatah lagi untuk dinobatkan sebagai yang terbaik di peringkat Asia.

“Saya besyukur dengan kejayaan diterima apatah lagi tahun ini genap 10 tahun saya berada dalam industri. Ia satu rahmat dan nikmat atas usaha dan kerja keras selama ini,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Nabil, kejayaannya itu sekali gus mengharumkan nama negara yang mewakili cabang pengacaraan.

Malah, Nabil juga ingin dedikasikan anugerah diterima kepada semua pihak yang banyak memberi tunjuk ajar dan bekerjasama dengannya selama ini.

“Orang kata, kalau kita buat kerja ikhlas akan dapat juga balasan. Alhamdulillah, ini rezeki daripada Allah yang tidak pernah dijangka sama sekali. Tahu-tahu saja saya menang.

“Terima kasih kepada keluarga, isteri dan anak yang sentiasa memberi sokongan selain memahami tuntutan kerja saya. Tidak dilupakan kepada semua pihak yang banyak berjasa sepanjang 10 tahun ini.

“Ini kemenangan bersama dengan pengacara hiburan lain. InsyaAllah saya akan sentiasa cuba berikan yang terbaik,” katanya.

Asian Academy Creative Awards diperkenalkan untuk memberi pengiktirafan dan meraikan kejayaan mereka yang terbabit secara langsung dalam industri kreatif terutamanya di segmen kandungan dan produksi media.

Anugerah itu mempertandingkan 49 kategori membabitkan penyertaan dari 20 negara Asia.

AAA meraikan kecemerlangan daripada aspek teknikal merentasi platform yang pelbagai, daripada televisyen ke digital, penstriman muzik atau video di atas talian (online) dan mengiktiraf evolusi teknologi yang kian pesat berlangsung di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Oktober 2018 @ 11:59 AM