SARAH
Rudy Imran Shamsudin
imran@hmetro.com.my

Walaupun ada yang menganggap single terbarunya Semakin mencatat kejayaan apabila jumlah tontonan di YouTube mencecah hampir lapan juta, penyanyi popular Sarah Raissudin belum berpuas hati.

Bagi penyanyi itu, penerimaan umum terhadap Semakin yang turut menjadi lagu runut bunyi drama bersiri Halalkan Hati Yang Ku Curi belum menyeluruh.

Sarah yang ditemui baru-baru ini bagaimanapun menjelaskan ia tidak bermakna dia tidak berpuas hati dengan pencapaian lagu yang dihasilkan suaminya itu sepenuhnya.

Tambahan pula, lagu itu kini turut disenaraikan dalam kebanyakan carta lagu popular di beberapa stesen radio yang mempunyai jumlah pendengar yang ramai.

“Saya bersyukur dengan apa yang saya peroleh menerusi Semakin. Bagaimanapun, kalau dilihat daripada perkembangan dalam mempromosikan Semakin saya percaya jumlah tontonan terhadap video muzik lirik dimuat naik boleh pergi lebih jauh lagi.

“Ini kerana bagi saya ada beberapa stesen radio utama belum memutarkan lagu terbabit, jadi ada orang yang mungkin belum lagi tahu lagu Semakin,” katanya.

Mula dilancarkan pada 4 Mei lalu, kata Sarah selepas enam bulan dimuat naik dan diperdengarkan kepada umum, klip video Semakin yang bakal dilancarkan tidak lama lagi mungkin boleh membantu melonjakkan lagi populariti lagu dendangannya itu, sekali gus meletakkannya ke tahap lebih tinggi.

“Apatah lagi untuk klip video itu nanti bakal menampilkan insan istimewa dan saya percaya dia boleh membantu saya untuk mempopularkan lagi lagu ini, sekali gus memproleh jumlah tontonan tinggi melebihi lirik video yang dimuat naik,” katanya.

Puas ditanya siapakah insan istimewa yang ditampilkan dalam muzik video itu, kata Sarah biarlah buat sementara ini dia merahsiakannya terlebih dulu.

“Kalau saya beritahu nanti tidak ada elemen kejutan dan video klip yang saya hasilkan itu tidak akan menjadi viral. Bagi mereka yang mahu tahu siapakah insan istimewa itu diharapkan bersabar,” katanya.

Jelas Sarah lagi, pihak syarikat rakaman dan pengurusannya Indigital Sdn Bhd juga kini sedang merangka untuk mengadakan satu majlis pelancaran klip video Semakin.

“Kami akan mengumumkan siapakah insan istimewa yang ditampilkan dalam klip video itu nanti pada majlis sidang akhbar bakal diadakan.

“Bila tarikhnya akan diberitahu kelak. Dan klip video itu kini masih lagi dalam proses suntingan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 5:59 PM