ANGAH bersyukur selepas Amira disahkan hamil. FOTO/ANGAH IG
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAWAK Angah berkongsi khabar gembira apabila bakal menimang cahaya mata kedua tahun depan.

Berita itu disahkan Angah atau nama sebenarnya, Iskandar Shah Hashim, 40, menerusi akaun Instagram peribadinya.

Angah berkata, isterinya, Amira Asyira Abd Razak, 23, kini hamil lima bulan.

“Pertama sekali saya nak lahirkan rasa syukur yang teramat kepada ALLAH SWT atas kurniaan rezeki ini.

“Insya-Allah dengan izin dan rahmat-Nya, maka 2019 akan bertambah ahli keluarga kami.

“Isteri saya dah lima bulan mengandung. Kakak @nurrinafassha nak dapat adik. Syukur Ya Allah ,” tulisnya.

Sementara itu, Angah turut memohon agar peminat dan rakan-rakan mendoakan yang terbaik buat dia dan keluarga.

“Saya mengharapkan doa yang baik-baik untuk perjalanan baru kami sekeluarga dari anda semua.

“Insya-Allah , Allah SWT akan balas yang terbaik untuk anda semua,” tulisnya.

Angah dan Amira mendirikan rumah tangga pada 19 Februari 2016 dan bakal menimang anak pertama mereka.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Angah dikurniakan seorang anak perempuan, Nurrina Fassha, 15.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Oktober 2018 @ 8:05 AM