RAMLI dan Khaty serasi bergandingan di atas pentas
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Tidak dinafikan keserasian yang terjalin di antara mereka sejak sekian lama. Itu yang diperlihatkan Datuk Ramli Sarip dan Datuk Khadijah Ibrahim menerusi konsert Doa Buat Kekasih yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada malam minggu lalu.

Konsert sempena ulang tahun ke-30 pasangan duet ini diperlihatkan kepada peminat menerusi sisi mereka yang usik-mengusik secara matang ketika beraksi dan elemen ini yang membuat semua penonton terhibur.

Menepati cita rasa peminat, Ramli dan Khaty hadir dengan himpunan lagu duet mereka yang membuai nostalgia semua.

Tepat jam 8.55 malam, pasangan ini membuka pentas menerusi lagu Ku Miliki Bayanganmu yang disampaikan dengan penuh penghayatan dan cukup sempurna.

Walaupun konsert baru bermula, ia sudah berjaya mewujudkan keseronokan penonton untuk mengikuti persembahan sehingga akhir.

Selepas itu, pasangan ini hadir pula dengan lagu Lagu Zaman, Zapin Berperi dan Ihsan Mulia. Diakui ada antara lagu ini jarang dimainkan stesen radio.

Namun, ia bukan masalah bagi peminat kerana jelas mereka sudah menghafal setiap bait lirik dan melodi lagu ini apabila sama-sama menyanyikannya.

Kemudian penonton dihiburkan Ramli menerusi persembahan solonya pula yang menampilkan lagu seperti Tersendiri, Budaya, Jikalau Berkasih, Keliru, Batu, Teratai dan Jangan Tunggu Lama-Lama.

Memang tidak duduk diam penonton dek penangan lagu ini. Apatah lagi Ramli bijak berkomunikasi setiap kali mahu menyanyikan lagu yang dipilih.


AURA Ramli berjaya meletakkan namanya kekal sebagai penghibur hebat.

Kemudian giliran Khaty pula tampil solo menerusi lagu Ku Sangka Siang Rupanya Malam, Halimunan, Nyanyian Tanjung Sepi, Everyday Girl dan Ku Gembira Di Sampingmu.

Tidak ketinggalan, Khaty turut menjemput anaknya, Siti Hajar Aishah untuk berduet menerusi lagu Ku Pendam Sebuah Duka.

Segmen duet diteruskan semula selepas itu menerusi nyanyian lagu Joget Hilang Berganti, Dondang, Proud Mary, Doa Buat Kekasih dan Kamelia.

Kesimpulannya, peminat terhibur bukan kerana faktor kemantapan vokal Ramli dan Khaty semata-mata, tetapi juga kerana kebijaksanaan mereka berkomunikasi.

Mereka bukan sekadar menyanyi di atas pentas, tetapi turut turun mendekati penonton sekali gus menjadikan konsert ini meninggalkan kesan tersendiri buat yang hadir.


KHATY berduet dengan anaknya Hajar menerusi lagu Ku Pendam Sebuah Duka.

Konsert ini diiringi barisan pemuzik Soul Journey terdiri daripada Aji Samin (gitar utama), Rizal Halim (gitar kedua), Tom Anuar (dram), Din Safari (bass), Rozario Rasul (keyboard) dan Paang Zaman (perkusi).

Ramly dan Khaty yang ditemui pada sidang media selepas konsert melahirkan perasaan gembira kerana konsert ini menepati apa yang dirancang.

“Yang mencabar kami dalam konsert ini ialah menyampaikan lagu yang jarang didengar tapi lagu-lagu ini berpotensi jadi lagu popular.

“Antaranya lagu Zapin Berperi dan Joget Hilang Berganti, semuanya lagu yang segar dan susah nak dapat lagi dalam industri ketika ini.

“Secara peribadi, saya rasa susah nak hasilkan 10 lagu yang berkonsep begini pada zaman sekarang, tapi tak mustahil ia boleh dibuat,” kata Ramli.


KHATY teruja menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih dalam gubahan baru.

Khaty pula melahirkan perasan terujanya apabila menyanyikan lagu Doa Buat Kekasih dalam gubahan baru yang lebih segar.

“Saya sukakannya. Tiada perkataan lain yang boleh diungkap. Ini kerana lagu ini melodinya sangat kuat, tapi sebarang gubahan baru mesti betul kerana jika tidak, ia takkan menjadi,” katanya.

Konsert Doa Buat Kekasih yang seterusnya berlangsung di Singapura pada 17 Oktober depan dan kemudian ke Perak serta Sabah dan Sarawak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Oktober 2018 @ 3:00 PM