PERSEMBAHAN bertenaga Hujan dan Kugiran Masdo.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Menggabungkan band Hujan dan Kugiran Masdo untuk sebuah konsert semestinya percaturan bijak.

Dua band berkenaan bukan saja jadi kegilaan ramai peminat, malah pesona mereka di atas pentas cukup luar biasa.

Tampil dengan konsert Hujan X Kugiran Masdo Sabtu lalu, tidak mengejutkan apabila lebih 5,000 peminat tegar hadir dari seluruh pelosok negara serta Singapura.

Berlangsung di Pintu 2, MAEPS, Serdang, hujan lebat sebelum konsert tidak menjadi penghalang penonton untuk menyaksikan band kesayangan mereka beraksi.

Jika menilai corak persembahan dua band itu sebelum ini, tiada siapa dapat menyangkal kehebatan mereka menakluk pentas. Tenaga disalurkan tidak pernah mengecewakan.

Pada konsert kali ini, penonton dapat menyaksikan keserasian Hujan dan Kugiran Masdo. ‘Magis’ dicipta mereka benar-benar mengagumkan.

Kesungguhan yang ditunjukkan membuktikan muzik sememangnya hidup mereka. Keikhlasan dua band itu menghiburkan penonton dapat dirasa sepanjang konsert berlangsung.


KUGIRAN Masdo sempoi sepanjang persembahan.

Memang layak mereka dipuja, malah konsert itu wajar dijadikan penanda aras untuk rujukan band tempatan lain.

Lebih menarik, elemen spontan yang disuntik dalam konsert itu. Vokalis Hujan, Noh Salleh pandai menjadi tukang karut di pentas dan menghidupkan suasana.

Interaksi bersahaja dua band itu menjadikan acara berkenaan cukup istimewa. Begitu juga dengan selingan ucapan penghargaan mereka terhadap sokongan yang diberikan peminat.


BERTENAGA dan menghiburkan!

“Saya tahu ramai penonton datang dari luar Kuala Lumpur pada malam ini. Saya sempat tengok di media sosial kalian ada sebut mengenai acara ini dan sanggup datang dari jauh.

“Terima kasih tidak terhingga di atas kesanggupan kalian. Kami sangat menghargainya dan diharap konsert ini menjadi kenangan manis buat semua,” kata Noh.


BERTENAGA dan menghiburkan!

Pemilihan lagu dibuat dengan teliti dengan membariskan rangkaian karya popular mereka. Ada juga lagu atas permintaan peminat.

Ramai selebriti tempatan turut hadir menyaksikan persembahan dua kumpulan hebat itu termasuk Zulin Aziz, Dayana Roza dan Bittersweet.

Pada malam itu, Hujan dan Kugiran Masdo mempersembahkan lagu Di Kala Bulan, Bermain Biola, Kasihan, Miss Flower Learn To Twist, Malam Pesta Rock & Roll, Teruna dan Dara, Perindu Kalbu serta Suria.


NOH pandai berjenaka dan mengamil hati penonton

Tidak ketinggalan lagu Kamek Sayang Kitak, Lamunan Terhenti, Bercanda Di Malam Indah, Inspektor Remos, Mawar, Khayalan dan Konflik Metropolis, Ratu Hati, Kau Pijak Hatiku serta Kecundang.

Turut dipersembahkan Jika Sempat, Kotak Hati, Berduka Lara, Dinda, Bunga, Kembara, Pagi Yang Gelap, Empayarmu, Aku Skandal dan Muda.

Konsert berkenaan dianjurkan Gbam Production Sdn Bhd dan CST Productions Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 3:00 PM