MARGOT
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my

Selepas beraksi sebagai penjahat Harley Quinn dalam Suicide Squad, Margot Robbie akan membawa watak berbeza sebagai patung popular antarabangsa, Barbie.

Pelakon itu juga dikhabarkan menjadi produser filem aksi hidup berjudul ‘Barbie’ bersama presiden syarikat Mattel, Robbie Brenner.

Watak patung berambut perang itu sepatutnya dibintangi Amy Schumer yang menarik diri dan diganti dengan Anne Hathaway sebelum Margot.

Asalnya, produksi Sony merancang menerbitkan filem itu, namun diambil alih oleh Mattel, syarikat yang mengeluarkan patung Barbie.

Bagaimanapun, kurang pasti sekiranya Mattel akan mengekalkan skrip asal.

Sebelum ini, Barbie pernah membuat kemunculan istimewa dalam tiga filem Toy Story.

Rumah agam Malibu berwarna merah jambu serta kereta mewah patung itu dijangka dipaparkan dalam filemnya.

Pada asalnya, Sony merancang menayangkan Barbie pada Jun lalu namun ditangguhkan kepada Mei 2020.

Syarikat Mattel dan Warner Bros kemudian mengambil alih pembikinan filem itu.

The Hollywood Reporter melaporkan Patty Jenkins mungkin mengarah filem terbabit namun setakat ini belum ada keputusan rasmi mengenainya.

Sementara itu, Margot akan menggalas kembali wataknya sebagai Harley Quinn dalam filem Birds of Prey yang menemui penonton pada 2020.

Bukan saja membintangi dalam Birds of Prey, pelakon berusia 28 tahun ini juga dilaporkan menerbitkan filem itu di bawah syarikat produksinya, LuckyChap Entertainment.

Selain itu, Margot kembali ke layar perak Disember ini sebagai Ratu Elizabeth I dalam filem Mary Queen of Scots.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Oktober 2018 @ 10:33 AM