Andi tidak mengenali wanita yang memfitnahnya. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI Andi Bernadee, 27, memuat naik komen wanita tidak dikenali di Instagram Story yang mengganggu dan memfitnahnya di media sosial sejak tiga minggu lalu.

Penyanyi lagu Semalam Sahur Di Mana itu berkata, tindakan wanita itu sedikit-sebanyak menjejaskan namanya.

“Apa yang dia lakukan itu memburukkan nama saya sebagai artis. Bagaimanapun, Alhamdulillah ramai memberikan sokongan kepada saya dan tidak percaya dengan fitnah yang ditaburkan,” katanya kepada Harian Metro.

Andi berkata, wanita itu bukan saja mengganggu di media sosial miliknya tetapi juga media sosial individu yang rapat dengannya.

“Selain akaun saya, dia mengganggu pengurus saya, Nasir Deraman dan rakan artis yang rapat dengan saya iaitu Sarah Suhairi.

“Semalam, saya menulis komen di Instagram Sarah, dan tiba-tiba dia mencelah dengan memburukkan saya. Itu sudah keterlaluan,” katanya.


Antara komen berbaur fitnah wanita yang mendakwa mengenali Andi. IG Andi Bernadee

Ditanya sama ada dia akan membuat laporan polis, Andi tidak mahu memanjangkan isu itu.

“Saya tak mahu panjangkan isu ini, jadi belum terfikir untuk buat laporan polis.

“Sekiranya selepas ini dia semakin menjadi-jadi sehingga mengancam keselamatan, saya tidak teragak-agak bawa perkara ini ke tengah,” katanya.


Andi memberikan amaran keras. IG Andi Bernadee

Andi turut berpesan kepada wanita itu supaya berhenti menyebarkan perkara yang tidak benar.

“Kalau dia baca artikel ini, saya harap dia berhenti menyebarkan fitnah kerana ia dosa besar,” katanya.

Antara fitnah yang disebarkan wanita itu, Andi yang dikenali sejak berusia 19 tahun merosakkan gadis selain banyak berhutang.

Selain menabur fitnah, wanita terbabit ada beberapa kali memuat naik gambar keluarga dan mengaitkan nama Andi kononnya seluruh keluarga merindui penyanyi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Oktober 2018 @ 6:33 PM