Bingbing memohon maaf secara terbuka di media sosial.
Michelle Gun
michellegun@hmetro.com.my


BINTANG paling mahal China, Fan Bingbing mengakui rasa bersalah dan malu kerana mengelak membayar cukai di negaranya.

Pelakon berusia 37 tahun itu turut membuat permohonan maaf secara terbuka di media sosial Weibo, semalam.

“Saya sangat malu dan rasa bersalah terhadap apa yang saya lakukan. Minta maaf,” tulisnya.

Kenyataan itu adalah yang pertama dikeluarkan pelakon X-Men: Days of Future Past itu selepas beberapa bulan mendiamkan diri sejak kontroversi terbabit timbul Mei lalu.

Dalam tempoh beberapa jam, status terbabit dikongsi semula sebanyak 100,000 kali dan mendapat 500,000 ‘likes’.

Dalam pada itu, Bingbing dan syarikatnya diarahkan pihak berkuasa China membayar balik cukai dan denda berjumlah RM533 juta.

Rabu lalu, pihak berkuasa mengeluarkan kenyataan Bingbing tidak menjalani hukuman penjara sebaliknya membayar denda.

Ini kerana kesalahan itu adalah yang pertama dilakukan pelakon terbabit.

Bingbing mempunyai lebih 62 juta pengikut di Weibo dan menjadi duta beberapa jenama besar antarabangsa seperti Montblanc, Louis Vuitton dan Guerlain.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 6:17 PM