DATUK M Daud Kilau
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Resipi menggabungkan artis tiga era iaitu 70-an, 80-an dan 90-an dalam Konsert Fenomena D’ Pop anjuran Wide Lane Events & Management yang berlangsung di Dewan Bankuet Menara Felda, Kuala Lumpur pada 28 September lalu ternyata menjadi apabila 95 peratus tiket dijual.

Bukan selalu mereka dapat menyaksikan sembilan artis bernama besar iaitu Datuk M Daud Kilau, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nassier Wahab, Rohana Jalil, Zur Eda, Zamani Slam, Amelina, Haiza dan Siti Nordiana beraksi di atas satu pentas.

Pasti ada yang bersetuju, dahulunya lagu dan persembahan artis ini yang dinanti-nanti peminat sebelum diambil alih artis generasi Budak-Budak Baru Nak Up (BBNU).


ZAMANI

Bagaimanapun, jangan melihat pada usia, tetapi nilai pada pengalaman kerana apa yang ditampilkan mereka pada malam itu memukau dan menghiburkan.

Sudah pasti peminat yang hadir mengharapkan artis kesayangan mereka menyanyikan lagu popular yang menjadi siulan ramai.

Ternyata mereka tidak menghampakan apabila barisan artis ini tampil mendendangkan lagu malar segar yang sinonim dengan peminat.

Rohana Jalil tampil sebagai artis pembuka menerusi lagu popularnya Rayuan Ku dan Rintik-Rintik Hujan.


ROHANA Jalil

Satu kelebihan penyanyi senior mereka bijak berkomunikasi, sekali gus mewujudkan suasana ceria dalam kalangan peminat.

Disusuli giliran Zur Eda menyanyikan lagu Kelmarin dan Kau Pelitaku yang memukau peminat.

Nassier Wahab tampil mengambil tempat selepas itu dengan lagu Bayangan Wajah Duka dan Memori Cinta Luka.


ZUR Eda

Kemeriahan konsert diteruskan dengan persembahan Zamani menerusi lagu Kembali Merindu serta Gerimis Mengundang, Jamal Abdillah (Barang Yang Lepas Jangan Dikenang dan Kekasih Awal dan Akhir) dan Siti Nordiana ( Hatiku Milikmu dan Terus Mencintai).

Kemunculan Haiza dan Amelina dengan lagu dangdut pula menghangatkan lagi suasana.

Haiza menyanyikan lagu Rindu, Mandi Madu dan Dag Dig Dug manakala Amelina dengan lagu Ah Rindu Lagi, Semakin Rindu Semakin Asyik dan Memori Daun Pisang.


HAIZA ligat berdangdut.

Peminat yang datang juga spontan menari tanda terhibur dengan persembahan yang disajikan.

Biarpun diletakkan sebagai penyanyi terakhir, peminat masih tidak berganjak untuk menyaksikan persembahan Raja Gelek negara, M Daud Kilau.

Walaupun berusia 80 tahun, dia masih bertenaga menyampaikan lagu popularnya Kau Pergi Tanpa Pesan, Gila Judi dan Cek Mek Molek.

Sebelum itu, kesabaran peminat termasuk dari Singapura menanti persembahan artis akhirnya terungkai apabila penyampai Kool FM, Muaz tampil membuka pentas pada jam 9.30 malam.

Dia yang petah bercakap berjaya menghidupkan suasana dari awal persembahan sehingga berakhir pada jam 12 tengah malam.


DATUK Jamal Abdillah

Konsert ini juga dihadiri tetamu diraja, Raja Shuibah Sultan Idris Shah dan tetamu kenamaan lain iaitu Masdiana Muhamad yang juga isteri Menteri Besar Selangor selaku penaung Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS) dan Datin Seri Shamsida Taharin, isteri kepada Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Turut hadir, Pengarah Urusan Wide Lane Events & Management, Datuk Kamal Khalid dan isteri, Datin Azika Omar dan Pengurus Besar Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Farahida Mohd Farid.

Sebahagian kutipan penjualan tiket akan disumbangkan kepada MAKNA.


AMELINA beramah mesra dengan wartawan hiburan Berita Harian.

Pengarah Operasi Wide Lane Events & Management, Fazrin Mohd Ali berkata, pihaknya berpuas hati dengan penganjuran konsert yang julung kali dianjurkan mereka.

“Alhamdulillah, konsert ini berjalan lancar tanpa sebarang masalah. Semua pihak memberikan kerjasama yang baik seperti yang diharapkan.

“Insya-Allah selepas ini kami akan buat beberapa persembahan di utara dan selatan tanah air. Konsepnya sama cuma barisan artisnya saja berbeza,“ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Oktober 2018 @ 2:09 PM