ORANG ramai hadir ke Konsert Jom Heboh di perkarangan Stadium Batu Kawan. FOTO Mikail Ong
Rudy Syareme Sheriffudin
cnews@bharian.com.my

Walaupun hampir dua tahun tidak diadakan di Pulau Pinang, sambutan terhadap Karnival Jom Heboh yang diadakan di pekarangan Stadium Batu Kawan, Seberang Perai Selatan tetap memberangsangkan apabila lebih 10,000 penonton hadir dalam Konsert Jom Heboh, malam Ahad lalu.

Gemuruh tepukan dan sorakan penonton di Pulau Mutiara cukup meriah, malah ramai yang sanggup datang lebih awal untuk tidak melepaskan peluang melihat persembahan artis secara dekat.

Kemunculan penyampai radio Hot FM, Fizie yang digandingkan dengan pengacara, Anim Ezati Rizki cukup menghiburkan selain barisan artis yang hadir juga memiliki aura tersendiri.

Pastinya kerinduan peminat terubat apabila berpeluang menyaksikan persembahan kumpulan heavy metal popular, XPDC, AJ Azril (Mentor Otai), Black Hanifah, Kaka Azraff dan Qody Mentor Milenia yang memiliki pengikut dan peminat tersendiri.

Tepat jam 9 malam pentas Konsert Jom Heboh bergema apabila AJ Azril memulakan persembahan dengan tiga lagu iaitu Layang-Layang Terputus Tali, Sambutlah Kasih dan single terbarunya berjudul Tetap Bertahan.

Bagi AJ Azril, peluang mengadakan persembahan buat pertama kali di pentas besar selepas Mentor Otai April lalu adalah satu peluang keemasan.

“Alhamdulillah peluang ini digunakan saya untuk mempromosikan single Tetap Bertahan yang akan dilancarkan pada 5 Oktober depan. Penonton di konsert ini adalah yang pertama mendengar lagu baru ini,” katanya.


AJ Azril. FOTO Mikail Ong

Begitu juga dengan Black yang sentiasa dekat dengan peminat di Pulau Pinang. Setiap kali hadir membuat persembahan pastinya pentas menjadi gamat dengan aksi lucu, berseloroh dan bersahajanya.

Kemunculan peminat setia, Hafizi berjaya mengamatkan seluruh pentas Konsert Jom Heboh apabila secara selamba meminta lagu She’s Gone dan menyanyi bersama-sama Black dengan gaya tersendiri.

Sebagai tanda terima kasih di atas segala sokongan yang diberikan lagu Teman Penganti, Sofea Jane dan lagu terbaru Pok Pet bersama anak, Khaleef Dayyan yang dicipta Hazama, Omar K dan Mike Chan dihadiahkan buat peminat.

“Lebih istimewa lagu Pot Pet juga bakal dilancarkan pada 8 Oktober depan dalam saluran YouTube MonkeyBone dan diharapkan peminat menyukainya dan terus memberi sokongan kepada saya,” katanya.


BLACK Hanifah. FOTO Mikail Ong

Kemunculan Kaka Azraff juga buat pertama kalinya di Karnival Jom Heboh Pulau Pinang adalah peluang terbaik baginya untuk menambat hati peminat selepas Karnival Jom Heboh di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

“Saya tidak pernah ke sini dan peluang besar ini pastinya direbut tanpa perlu menoleh ke belakang lagi selain sebagai anak seni memerlukan lebih banyak komitmen diri untuk menambat hati peminat tanahair di sini,” katanya yang membawakan lagu Bukan Hal Aku, lagu terbaru Terima Kasih dan single terhangat ketika ini iaitu Sibuk.

Bagi Qody pula, perhargaan yang diberikan TV3 selepas berakhirnya Mentor pada 2016 cukup bermakna hingga lahirnya lagu terbaru Biar Aku, Dia dan Hanya Kita.

Baginya, setiap anak seni memiliki impian tersendiri, malah dia cukup teruja apabila layak ke pentas separuh akhir Muzik-Muzik dan terus melangkah ke pentas yang lebih gah dan berprestij dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang termasuk tercalon dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) pula.


KAKA Asraf. FOTO Mikail Ong

Sebelum pentas Konsert Jom Heboh melabuhkan tirainya, aura populariti XPDC tidak mengecewakan.

XPDC yang dibarisi Ali (penyanyi), Izo (gitar utama), Lola (drum), Eddie (bass) dan Arif (gitar) disambut dengan tepukan gemuruh penonton.

Bagi Ali, inilah peluang yang ditunggu kerana kebetulan Karnival Jom Heboh diadakan di Pulau Pinang dan ia seolah-olah membuka ruang buat mereka mempromosikan album terbaru berjudul Doa.

Lagu berkonsep rock dakwah dengan mesej tersendiri dan mereka turut membuka gerai pameran, promosi dan penjualan secara eksklusif di tapak Karnival Jom Heboh selama dua hari.

“Kita jual sendiri untuk melihat kejujuran sebenar peminat dan sayangnya mereka terhadap XPDC dan lagu seperti Sentosa, Teman dan Sakinah dan terakhir lagu Semangat Yang Hilang,” katanya.


XPDC. FOTO Mikail Ong

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Johan Ishak berkata, Karnival Jom Heboh adalah acara terbesar TV3 dan sentiasa mendapat perhatian peminat untuk berhibur dan beriadah bersama keluarga.

“Tidak ketinggalan acara Lelongan Amal Tabung Bersamamu dengan memberi barangan milik selebriti yang terus disalurkan ke Tabung Bersamamu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Oktober 2018 @ 1:59 PM