REMY Ishak. FOTO Hasif Fikri
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my

Kredibiliti Remy Ishak tidak perlu dipertikaikan lagi. Baik dalam filem mahupun drama, Remy antara pelakon yang berjaya membawakan setiap watak dengan berkesan.

Malah, menerusi watak dalam drama Lelaki Kiriman Tuhan yang mula ditayangkan hari ini, Remy, 36, atau nama sebenarnya Mohammad Zalimei Ishak berdepan cabaran apabila tidak boleh bersentuhan dengan pelakon utamanya, Mira Filzah.

Selain naskhah Islamik, drama adaptasi daripada novel yang menggunakan judul sama itu ditayangkan di saluran Astro Oasis.

“Dalam drama sebelum ini kebanyakan babak membabit—kan saya adalah bersentuhan. Tetapi, tidak dalam drama ini. Apa pun, saya pandang perkara ini dari sudut positif yang mana ada batasan membabitkan watak lelaki dan wanita.

“Pada masa sama, perkara ini membolehkan saya mengasah skil lakonan terutama naskhah bergenre Islamik. Bagi saya, tidak semestinya babak romantik memerlukan adegan bersentuhan. Sebaliknya, ia boleh diterjemahkan dalam bentuk bahasa tubuh dan gerak mata,” katanya yang melakonkan watak Iqbal Raid.

Menurut Remy, kreativiti pengarah memainkan peranan penting supaya setiap babak tidak kelihatan canggung, sekali gus mesej yang ingin dipaparkan sampai kepada penonton.

“Apabila mendapat tawaran ini, saya sudah bersedia untuk tidak menjayakan babak bersentuhan. Mujur saya jenis pelakon yang dengar cakap pengarah. Jadi, segalanya berjalan lancar.

“Paling penting, faktor syariah tidak membataskan kreativiti seseorang untuk berkarya. Malah, ia memberikan lebih banyak ruang untuk diteroka dan diberikan sentuhan menarik,” katanya.

Selain Remy, drama terbitan Zeel Productions Sdn Bhd itu turut menampilkan pelakon hebat lain seperti Datuk Jalaluddin Hassan, Kartina Aziz, Jasmin Hamid, Rozita Che Wan, Talha Harith dan Maria Farida.

Turut diperkenalkan barisan pelakon baru antaranya Harris Annuar, Riana AF2016, Uyaina Arshad, Ali Redza, Hanis Nabeela dan Farah Safwan.

Mengenai kerjaya lakonannya, Remy mengakui dia terpaksa bekerja keras dalam menjayakan watak diberikan terutama jika bergandingan dengan pelakon baru.

“Saya tidak boleh salahkan mereka. Mungkin mereka gementar atau takut bekerja de­ngan saya hingga memberi kesan kepada lakonan mereka.

“Jadi, selepas beberapa tahun melalui pengalaman sebegitu saya cuba praktikkan cara lain pula iaitu dengan mendekati dan banyakkan beramah mesra.

“Saya ingin mereka selesa dengan saya, sekali gus mudah mencipta keserasian di skrin. Saya faham apa dilalui mereka kerana pernah berada di tempat mereka. Sebagai orang baru, saya pernah berasa takut nak bekerjasama dengan pelakon lama,” katanya.

Remy berkata, dalam lakonan dia tidak mahu bersikap pentingkan diri hingga ‘membunuh’ gandingannya.

“Dalam lakonan apa yang penting adalah kerja berpasukan. Walaupun kerap digandingkan dengan heroin baru, saya sedaya upaya cuba membantu mereka.

“Saya tidak mahu pentingkan diri dan membiarkan mereka bersusah payah menjayakan watak diberikan. Sebagai pasangan, saya kena bantu supaya gandingan kami berjaya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Remy bakal terbabit dalam drama Pujaan Hati Kanda yang bakal ditayangkan di slot Akasia, TV3.

Dalam drama itu sekali lagi mempertemukan Remy dan Mira Filzah selaku pasangan hero dan heroin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Oktober 2018 @ 11:11 AM