MALMSTEEN cukup dikenali dengan teknik kelajuannya dalam memetik gitar.
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my

Dalam kalangan pemain gitar, nama Yngwie Malmsteen wajib diketahui. Di Malaysia, nama pemain gitar berusia 55 tahun ini sudah dikenali sejak awal 1980-an lagi.

Kehebatannya mengendalikan gitar Fender Stratocaster dengan gaya muzik neo-klasik digabungkan dengan heavy metal memberi pengaruh besar kepada ramai pemain gitar tempatan terutama Man Kidal.

Sehubungan itu, konsert sulung Malmsteen di negara ini yang bakal berlangsung di Yayasan Hall, Menara PGRM, Kuala Lumpur, Sabtu ini pastinya dinanti-nanti.

Konsert Yngwie Malmsteen Live In Malaysia anjuran RSPP Media dengan kerjasama Panggung Asia serta dipromosikan Lampuneon Entertainment itu akan bermula pada jam 9 malam.

Selain gabungan muzik klasikal dengan heavy metal, kehebatan Malmsteen atau nama sebenarnya Lars Johann Yngve Lannerback adalah teknik ‘shredding’ dan kelajuannya dalam memetik gitar. Ini sekali gus menjadikan Malmsteen yang banyak dipengaruhi penggubah muzik klasik seperti Bach, Paganini dan Vivaldi sebagai fenomena sejak muncul album pertama berjudul Rising Force pada 1984.

Tidak hairanlah apabila majalah Time meletakkan Malmsteen antara 10 pemain gitar terbaik dunia sepanjang zaman pada 2009.

Selain muzik klasik, Malmsteen banyak dipengaruhi pemain gitar pujaannya iaitu Ritchie Blackmore daripada Deep Purple.

Sehingga kini, Malmsteen sudah menghasilkan 20 album studio dan empat album ‘live’. Album terbarunya ialah World On Fire pada 2016.

Dia juga pernah menerbitkan buku biografi berjudul Relentless: The Memoir pada 2013 apabila Malmsteen berkongsi mengenai cerita peribadi sejak awal pembabitannya sebagai pemuzik pada awal 1980-an hingga namanya menjadi fenomena dalam sejarah muzik rock.


MENGGABUNGKAN muzik klasikal dengan heavy metal.

Walaupun kebanyakan band rock generasi baru hari ini tidak lagi menampilkan ‘guitar hero’ seperti dulu, Malmsteen tetap memberi pengaruh kepada mereka dalam usaha menubuhkan band.

Apa yang menarik, konsert di Kuala Lumpur nanti adalah satu-satunya konsert Malmsteen di Asia Tenggara. Selain itu, dia juga akan mengadakan konsert di Shanghai dan Beijing, China.

Malmsteen bakal tampil dengan kumpulan pemuziknya yang terdiri daripada Ralph Ciavolino (bass, penyanyi), Nick Marino (keyboard, penyanyi) dan Mark Ellis (dram).

Sejak 40 tahun lalu, Malmsteen sudah bekerjasama dengan ramai pemuzik hebat dunia antaranya pemain keyboard Rainbow, Jens Johansson, Joe Lyn Turner (penyanyi - Deep Purple, Rainbow), Bob Daisley (bass - Ozzy Osbourne, Black Sabbath, Gary Moore), Michael Vescera (penyanyi - Loudness) dan Derek Sherinian (keyboard - Dream Theater).

Tiket untuk menonton konsert ini berharga RM900 untuk kategori VVIP, RM300 (CAT 1) dan RM250 (Rock Zone) serta boleh didapati menerusi www.ticketpro.com.my atau sebarang pertanyaan menerusi 03-78807999.


MALMSTEEN sentiasa memukau dengan teknik permainan gitarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 1:59 PM