AYOB (kanan) bersama Mahzan B menunjukkan laporan yang dibuat di Balai Polis Dang Wangi, hari ini, mengenai berita palsu berhubung kematian artis termasuk Saleem.
Amirul Haswendy Ashari
haswendy@hmetro.com.my


KONSORTIUM Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA) diwakili Presidennya, Ayob Abdul Majid membuat laporan polis terhadap dua blog tempatan susulan penularan berita palsu kematian penyanyi Saleem Iklim di Balai Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, 3 petang hari ini.

“Sudah banyak kes dan berita palsu yang tular sebelum ini terutama membabitkan kematian artis dan Saleem bukan kali pertama.

“Tindakan membuat laporan polis ini bukan pasal Saleem saja, tapi ini untuk semua artis yang pernah menjadi mangsa,” kata Ayob.

Katanya, tujuan laporan dibuat sebagai peringatan kepada blog tidak bertanggung jawab agar hentikan amalan menyebarkan maklumat palsu.

Apatah lagi, dua blog dan portal yang didakwa menyebarkan berita palsu kematian Saleem di laman Facebook, awal pagi hari ini sudah mencecah lebih 1,000 perkongsian.

Kata Ayob, dua blog dan portal itu adalah punca asal berita palsu mula disebar dan jika mereka tetap tidak mengendahkannya, IRAMA tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan lebih serius.

“Saya akan ke pejabat SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) untuk mendapatkan kerjasama pada Isnin ini dan masa sama, peguam kami sudah bersedia bila-bila masa.

“Kami akan saman atau tuntut ganti rugi kepada blog atau portal sebegini,” kata Ayob.

Dia akui selama ini IRAMA hanya diam dan kini sudah tiba masa untuk pihak mereka bertindak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 7:42 PM