IZZUE Islam. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Izzue Islam tidak meletak harapan tinggi untuk muncul juara program realiti Super Spontan Xtravaganza (SSX) yang berlangsung di Panggung Percubaan UPM, Serdang, 10 malam ini.

Izzue ketika dihubungi berkata, dia akui sedikit gementar apabila satu-satunya pelakon yang berjaya mara ke peringkat final dan perlu bertarung dengan lima pelawak handalan.

"Saya tidak mengejar gelaran juara sebaliknya saya ingin menghiburkan penonton dan mengutip pengalaman berharga ini.

"Saya akan berusaha sehabis baik dan berharap mampu bersaing dengan pelawak yang sedia ada. Jika ada rezeki untuk bergelar juara, Alhamdulillah, jika tidak saya akan cuba lagi tahun hadapan," katanya.

Menurut Izzue, dia percaya tiada yang mustahil untuk bergelar juara kerana tahun lalu juaranya adalah seorang pelakon.

"Bagi saya, kesemua finalis mempunyai kekuatan tersendiri. Tambahan pula, ada pelawak yang sudah biasa dengan pentas ini.

"Bagaimanapun tiada yang mustahil kerana tahun lalu Kamal Adli berjaya dinobatkan sebagai juara. Saya tidak akan berputus asa dan akan cuba beraksi sebaik mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 September 2018 @ 8:12 PM