Santesh. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


SELEPAS 22 tahun bekerja keras dalam bidang muzik, penyanyi, Santesh, 30, mampu tersenyum dengan pencapaian single Bahasa Malaysia pertamanya, Amalina.

Menurut Santesh atau nama sebenarnya Shanthesh Kumar, tempoh masa itu digunakannya untuk belajar selok belok industri muzik tanah air.

“Saya sendiri pun tak sangka yang lagu ini akan menerima sambutan sehebat ini. Penat lelah saya selama berada di dalam industri muzik nampaknya berbaloi,” katanya kepada Harian Metro.

Santesh berkata, menyanyikan lagu Bahasa Malaysia meluaskan lagi rangkaian peminatnya.

“Kalau sebelum ini, nama saya lebih dikenali dalam kalangan peminat lagu berbahasa Tamil, tapi sekarang, rangkaian peminat saya bertambah kepada pelbagai kaum.

“Saya sendiri pun memang suka mendengar lagu-lagu Bahasa Malaysia sejak kecil lagi. Jadi, tak terlalu kekok untuk saya menyanyikan lagu Bahasa Malaysia,” katanya.

Selepas dimuat naik selama 18 hari di YouTube, video muzik Amalina kini mencecah jumlah tontonan lebih 5.6 juta, manakala, versi Tamil pula akan dimuat naik pada 28 September ini.

Selain menyanyi, Santesh juga aktif dalam bidang lakonan dan menantikan kehadiran filem lakonannya, Vaira.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 5:25 PM