Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

Siapa lagi yang mampu mempertahankan khazanah seni tradisi jika bukan kita? Mungkin selama ini kita hanya tahu dan pernah melihat karya tari seperti inang, joget dan zapin.

Namun sedarkah kita betapa Malaysia mempunyai lebih daripada apa yang sering dipaparkan kepada khalayak?

Sebelum ini fenomena tarian panama dan keke challenge menggemparkan dunia apabila persembahan gerak tari yang diolah daripada gerakan hip hop yang mempunyai unsur lucah, kebaratan dan membahayakan diri serta orang lain sehingga berlaku kemalangan menjadi inspirasi kepada penghibur generasi kini untuk meniru gaya.

Ada baiknya kita beralih arah kepada gerak tari lemah gemalai Melayu yang bukan sekadar lambang keindahan seni tradisi malah turut menterjemahkan cara hidup bangsa Melayu yang kaya adab sopan.

Persembahan Malam Gala Inspitari 2018 yang berlangsung di Istana Budaya baru-baru ini menjadi bukti negara tidak kurang hebatnya kerana mempunyai pelbagai tarian yang menarik.

Usaha Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) wajar dipuji apabila berusaha mengadakan Malam Gala Inspitari 2018 sebagai satu acara gah sejak diperkenalkan pada 2010.

Acara ini sebagai manifestasi lanjutan ke arah pembangunan industri kreatif yang mampu memperkasakan seni budaya negara.

Inspitari yang dijenamakan dengan tema Memperkaya Koleksi Tari Kreasi Baru adalah satu garapan daya cipta dan kreativiti ditampilkan dalam simbolik persembahan tarian ciptaan baru berasaskan imej serta identiti setiap negeri di Malaysia. Malah, ia turut memaparkan keunikan masyarakat Malaysia yang cuba dikupas Kumpulan Kesenian JKKN seluruh Negara menerusi olahan tari.

Program kesinambungan anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia menyaksikan Panggung Sari, Istana Budaya dipenuhi pencinta seni tradisi.

Mungkin kerana rindu berikutan program ini direhatkan pada 2016 dan 2107, ramai tidak melepaskan peluang menyaksikan acara ini yang berlangsung dua malam.

Tercatat sudah, bermula pada 2010 sehingga 2015, sejumlah 111 karya baharu berjaya dihasilkan dengan garapan dan idea terkini namun masih mengekalkan ciri asal identiti Malaysia.


ROSNAN Rahman terbabit sebagai Pak Yong.

Tahun ini, 276 artis budaya Kumpulan Kesenian JKKN berserta 17 jurutari terbabit dalam mempersembahkan 15 karya baharu. JKKN juga mengambil inisiatif untuk mendokumentasikan karya baharu yang dihasilkan.

Ia akan dijadikan modul pembelajaran dan panduan kepada penggiat serta pelajar seni tari tanah air.

Melihat kepada tarian yang ditampilkan, ia nampaknya lebih bervariasi apabila keseluruhan naskhah tari diolah semula dan diberi nafas segar dari segi pola lantai, pergerakan dinamik mahupun susunan lagu serta busana hasil kajian lapangan yang terperinci oleh setiap Kumpulan Kesenian JKKN seluruh negara.

Mereka yang mengambil bahagian terdiri daripada Kumpulan Kesenian JKKN Ibu Pejabat dengan tarian Joget Kampung Baru, Kumpulan Kesenian JKKN Perlis (Ghencak), Kumpulan Kesenian JKKN Kedah (Inang Mahsuri), Kumpulan Kesenian JKKN Perak (Joget Konda Kondi), Kumpulan Kesenian JKKN Pulau Pinang (Lenggok Nyonya), Kumpulan Kesenian JKKN Selangor (Joget Buaian), Kumpulan Kesenian JKKN Wilayah Persekutuan (Jooh Gunak) dan Kumpulan Kesenian JKKN Negeri Sembilan (Adat Bersuarang).

Tidak ketinggalan turut serta ialah Kumpulan Kesenian JKKN Melaka (Rongbang Chetti), Kumpulan Kesenian JKKN Johor (Joget Wau Merak), Kumpulan Kesenian JKKN Kelantan (Zapin Salor), Kumpulan Kesenian JKKN Terengganu (Canggung Dungun), Kumpulan Kesenian JKKN Pahang (Rentak Semantahan), Kumpulan Kesenian JKKN Sabah (Sua’an Teke) serta Kumpulan Kesenian JKKN Sarawak (Sape Kui).


KEINDAHAN dan kehalusan tarian Melayu diperlihatkan dalam Inspitari 2018.

Kesimpulannya, penonton terbuai dan terpegun menyaksikan persembahan yang ditampilkan kerana gerak tarinya bukan mudah dan memerlukan latihan yang mencukupi agar sempurna.

Tidak ketinggalan, menggabungkan persembahan mek mulung dan makyung sebagai elemen penceritaan pada malam pertama dan kedua Inspitari 2018 adalah satu idea bijak dan segar.

Penampilan penari cilik Permata Seni Tari Kanak-Kanak turut menerima tepukan apabila menampilkan gerak tari menarik.

Ketua Pengarah JKKN Tan Sri Norliza Rofli berkata, pihaknya akan terus komited dalam usaha mencungkil dan menggali khazanah seni budaya negara yang terdapat di seluruh negara.

“Kami mahu mengetengahkan seni untuk dihayati semua lapisan masyarakat.

“Inspitari 2018 adalah satu usaha ke arah melahirkan karya dan produk baru dalam bidang tari yang lebih dinamik serta segar.

“Objektifnya adalah bagi memperbanyakkan koleksi tarian baru yang unik, segar dan kaya identiti Malaysia. Ia juga dapat meningkatkan daya kreativiti jurutari dan artis tari setiap Kumpulan Kesenian JKKN,” katanya.

Mungkin apa yang dipersembahkan bukan sempurna sepenuhnya, namun setidak-tidaknya idea baru dan garapan segar sudah mula dibenihkan melalui persembahan pada acara ini.


KEINDAHAN dan kehalusan tarian diperlihatkan dalam Inspitari 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 September 2018 @ 11:18 AM