Hillary sudah tidak mahu tahu mengenai Prime Domestic. FOTO Hm Digital
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


"AKU dah tak ambil tahu mengenai kumpulan itu.

"Aku dah lupa benda ini dan tak payah nak angkat-angkat lagi,".

Demikian kata-kata tegas pemain gitar terkenal, Hillary Ang mengulas mengenai krisisnya dengan Joe, pengasas dan pemain gitar kumpulan Prime Domestic.

Dia berkata ketika ditemui pada sidang media Showcase Datuk Awie & Dragon Malaya di @House G Tower, Jalan Tun Razak, hari ini.

Sebelum ini tercetus kegemparan dikalangan peminat apabila Hillary bersama Fauzi (pemain bass) dan Aweera (penyanyi) meninggalkan kumpulan Prime Domestik yang kini dikenali sebagai Prime Domestik sejak Julai lalu.

Pengurus PrimeD, Noh Alonso mendakwa Hillary ‘tikam belakang’ dengan memburukkan nama Joe kepada pihak luar dan ia amat mengecewakan.

Manakala Joe pula meluahkan perasaan kesal kerana terpaksa masuk campur menyelesaikan hal peribadi Hillary dan dua lagi bekas anggota Prime Domestik.

Malah, Joe juga tidak mahu menjadi emak burung yang sentiasa menyuapkan makan kepada anak-anaknya.

Hillary yang pernah bersama kumpulan Search nampak kurang selesa apabila terus diajukan soalan berkenaan isunya dengan Joe dan mengambil pendekatan mengelak menjawab pertanyaan media.

Dia dan Fauzi kini bergabung dibawah kumpulan Hillary Ang Project yang dianggotai oleh Kudin Headwind (keyboard), Elji (penyanyi) dan Pae (drum).

Mereka bakal menjayakan persembahan bersama Datuk Awie & Dragon Malaya di @House G Tower, Jalan Tun Razak pada 28 Oktober 2018.

Sementara itu, kenyataan Fauzi gagal diperolehi kerana dia meninggalkan lokasi sebaik sidang media berakhir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 September 2018 @ 8:52 PM