BERSYUKUR dapat bergabung semula.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my

Ditubuhkan lebih 30 tahun lalu, Flop Poppy kekal teguh dengan perjuangan muzik mereka tanpa ada petanda untuk beralah.

Dianggotai Andy (vokal & gitar), Mijie (gitar), Megat (gitar), Wandy (bass) dan Bakri (dram), band itu memutuskan untuk tampil dengan persembahan khas di Setor Gombak, Jalan Gombak, Kuala Lumpur, baru-baru ini selepas sekian lama menyepi.

Menurut Andy, idea itu tercetus selepas mereka berkumpul dalam pertemuan santai sebelum itu.

Sebelum itu, anggotanya membawa haluan masing-masing.

Mengakui agak mencabar untuk ‘mencuri’ masa anggota Flop Poppy, Andy bersyukur projek itu berjaya dilaksanakan.

“Sebenarnya tak pernah terfikir pun mahu mengadakan persembahan itu. Maklumlah kami masing-masing terikat dengan komitmen peribadi. Pertemuan yang diatur pun sekadar borak santai selepas lama tidak berjumpa.

“Namun, apabila sudah ditakdirkan idea itu datang dan kami pun memang lama sudah tidak beraksi bersama di pentas. Semestinya kami juga mahu bertemu semula dengan peminat dan menghiburkan mereka,” katanya.

Menurut Andy, semangat mereka ketika itu memang sangat berkobar-kobar dan begitu teruja apabila semua bersetuju dengan cadangan itu.

Mengikut perancangan, mereka mahu menyanyikan 30 lagu tetapi terpaksa akur dengan had masa ditetapkan penganjur.

“Kami memang tidak puas menghiburkan penonton yang hadir disebabkan banyak lagu tidak dapat kami mainkan. Pada mulanya, kami mahu nyanyikan 30 lagu daripada lima album yang dihasilkan sehingga kini.

“Namun, niat itu terpaksa dilupakan atas sedikit kelewatan masa yang ditetapkan. Daripada 30 kemudian dipotong kepada 25 dan akhirnya kami hanya dapat membawakan kurang 20 lagu,” katanya.

Flop Poppy juga merancang memperkenalkan lagu baru mereka kepada peminat, tetapi hasrat itu terpaksa dilupakan kerana kekangan masa.


BAKAL tampil dengan album baru.

“Kami sudah merancang untuk nyanyikan single terbaru itu. Niat kami adalah mahu penonton beri cadangan apa judul sesuai untuk lagu itu. Memang agak ralat sedikit apabila tidak dapat menyanyikan lagu itu,” katanya.

Bagaimanapun, Flop Poppy tetap berpuas hati dengan kehadiran lebih 700 penonton pada malam itu.

Bagi mereka, tidak kiralah berapa orang yang hadir tapi tidak akan melunturkan semangat mahu memberikan aksi terbaik.

“Sebenarnya niat kami adalah kembali mengubat kerinduan dan bersatu semula di satu pentas. Tidak sangka ramai yang hadir sekali gus membuatkan kami rasa lebih dihargai.

“Kalau ikutkan, kami tidak kisah pun kalau ada seorang dua saja yang hadir. Yang penting kami mahu melepaskan gian selepas sekian lama tidak beraksi di pentas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Flop Poppy kini dalam proses menghasilkan album baru yang dijangka akan dilancarkan tahun depan.

Apa yang pasti, band terbabit tidak kisah dengan situasi pasaran muzik tempatan apabila ditanya kenapa berani hasilkan album penuh.

“Selama ini, kami memang mahu hasilkan lagu yang kami suka tanpa mengikut trend pun. Untuk album baru juga pendekatan sama kami ambil dan kini sedang dalam proses praproduksi.

“Cuma untuk lagu baru nanti bunyinya akan lebih matang. Sekarang sudah ada 10 lagu yang hampir siap dan cuma tunggu untuk masukkan muzik saja.

“Kami berkeras untuk hasilkan album penuh disebabkan itulah prinsip kami sejak dulu. Laku atau tidak laku belakang kira,” katanya.

Pada persembahan berkenaan, Flop Poppy berjaya menghiburkan penonton dengan aksi yang cukup bertenaga.

Jelas sekali, usia bukan penghalang untuk menarik penonton daripada pelbagai lapisan umur termasuk remaja.

Antara lagu yang dipersembahkan termasuk Cinta, Aku Dan Kamu, Mimpi Sedih, Masih, Atas Nama Cinta, Rahsia dan Suziela.

Turut menghiburkan penonton adalah Pretty Ugly sebagai artis pembukaan dan Ezzlyn sebagai penyanyi jemputan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 September 2018 @ 2:00 PM