Lakonan mantap Willem Dafoe sebagai Van Gogh. FOTO CBS
AFP

VENICE : Filem baru mengisahkan artis lagenda, Vincent Van Gogh didakwa mati akibat dibunuh dan bukan kerana membunuh dirinya ditayang untuk pertama kali.

“At Eternity’s Gate” yang dibintangi William Dafoe sebagai seorang lelaki genius dengan tekanan perasaan ditayangkan julung kali di festival filem Venice, semalam.

Dalam filem itu, pelukis berkenaan ditembak selepas satu pergelutan dengan beberapa pemuda tempatan di perkampungan Auvers-sur-Oise di luar Paris, iaitu penempatan beliau untuk saat-saat akhir kehidupannya pada tahun 1890.

Beliau meninggal dunia 36 jam kemudian selepas sedaya upaya pulang ke tempat penginapannya pada waktu malam.

Ketika kebanyakan pakar sejarah bersetuju dengan pendapat Van Gogh mengambil nyawanya sendiri, pelukis terkenal, penerbit dan calon Oscar, Julian Schnabel menghasilkan teori yang merumuskan bahawa pelukis terkenal itu sebenarnya dibunuh.

Penulis skrip legenda Perancis, Jean-Claude Carriere yang menghasilkan skrip berkenaan bersama Schnabel memberitahu, tiada bukti menunjukkan Van Gogh membunuh diri.

“Apakah saya percaya Van Gogh membunuh diri? Sudah tentu tidak! Beliau kembali ke tempat penginapannya dengan tembakan di bahagian perut dan tiada siapa pernah melihat senjata atau bahan lukisannya,” tambah beliau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 1:21 PM