AZHAN.
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

Di sebalik kesibukan jadual lakonan yang padat, pelakon Azhan Rani, 42, tetap mencari masa untuk diri sendiri.

Malah, pantang ada masa terluang pasti diisi dengan aktiviti berkaitan alam semula jadi.

Menurut Azhan, dia cenderung meneroka alam semula jadi kerana sukakan suasana menghijau.

“Apabila melihat kehijauan pokok di hutan, saya rasa tenang, malah hilang segala penat berlakon.

“Jadi, kalau tidak bekerja memang sepenuh masa saya isi dengan aktiviti ini,” katanya.

Baru-baru ini, Azhan terbang ke Sabah untuk ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu buat kali ketiga.

Azhan juga satu-satunya selebriti yang menyertai ekspedisi itu bersama kumpulan 5 Generation seramai 16 orang.

Berbicara mengenai aktiviti mendaki gunung yang kini menjadi hobinya, Azhan berkata ia bermula secara kebetulan.

“Semuanya berlaku pada 2013. Ketika itu saya diundang ke Sabah untuk menjadi juri Festival Teater.

“Sebaik tugas selesai, seorang rakan bawa saya ke Kundasang untuk melihat pemandangan cantik dari kaki gunung.

“Sejak itu, saya terus simpan impian untuk mendaki puncak Kinabalu suatu hari nanti,” katanya.

AZHAN ketika ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu.

Menurut pelakon drama Nur yang disiarkan di TV3 ini, dia berjaya menawan puncak Kinabalu pada 2015 dan kali kedua, 2016.

Namun begitu, ujarnya dia terlebih dahulu mendaki Bukit Broga di Semenyih, Selangor diikuti Gunung Rinjani di Lombok, Indonesia pada 2014.

“Lagipun, ekspedisi baru-baru ini adalah cubaan menawan Kinabalu mengikut jalan lereng gunung.

“Sayangnya, disebabkan angin kencang berserta hujan maka ekspedisi kumpulan saya terkandas di Laban Rata.

“Kami tidak dapat mendaki ke puncak dan sedikit kecewa. Bagaimanapun, kami akur keselamatan lebih utama.

“Jadi, ekspedisi baru untuk kumpulan 5 Generation menawan semula Kinabalu dijangka dibuat pada April tahun depan,” katanya.

Menurut Azhan, jika dia tiada masa untuk mendaki, masa rehatnya di habiskan dengan berkebun.

SEBAHAGIAN anggota kumpulan 5 Generation.

Selesa tak dianggap selebriti

“Sebenarnya, saya banyak habiskan masa membersih kebun peninggalan arwah bapa di Kuala Kubu Bharu.

“Kawasan kebun itu berbukit dan suasananya sangat mendamaikan jiwa. Saya selalu sendirian di situ,” katanya.

Lebih sedekad menceburi bidang lakonan, Azhan mengakui 2017 adalah tahun paling bermakna buatnya.

Ujarnya, dia gembira apabila banyak mendapat peluang melakonkan watak mencabar.

Diminta mengulas pembabitan dengan kumpulan pendaki yang tiada kaitan dengan golongan selebriti, Azhan berkata dia lebih selesa.

“Saya suka menyertai ekspedisi mendaki dengan kumpulan yang terdiri daripada pekerja bidang lain.

“Saya rasa lebih selesa dan banyak ilmu dapat dikongsi bersama.

“Secara tidak langsung, saya dapat belajar banyak perkara dengan mereka yang tidak lokek ilmu,” katanya.

KUMPULAN ekspedisi di Laban Rata.

Mengulas perkembangan terkini kariernya, Azhan muncul dengan drama bersiri KL Gangster Underworld yang ditayangkan secara percuma di saluran video on demand (VOD) iflixfree.

Selain itu, Azhan juga sibuk di lokasi penggambaran drama Sembil9n terbitan usaha sama produksi Malaysia dan Indonesia.

Drama 10 episod arahan Razaisyam itu membariskan pelakon Malaysia lain seperti Beto Kusyairy, Amerul Affendi, Zaidi Omar, Sara Ali dan Azman Abu Hassan.

Manakala pelakon dari Indonesia pula Roy Marten, Atiqah Hasiholan, Endith Bubi dan Haydar Salishz.

Untuk filem pula Azhan membintangi Bikin Filem arahan Mohd Latiff Zami.

AZHAN ketika berehat di bilik penginapannya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 September 2018 @ 12:24 PM