Liza Hanim. FOTO fail HM Digital
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


SELEPAS 21 tahun bergelar anak seni, penyanyi, Liza Hanim, 38, bersyukur kerana impiannya untuk membuat persembahan dan berkongsi pentas bersama kumpulan Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) kini menjadi kenyataan.

Liza ditemui pada sidang media konsert Semalam Di Malaya berkata, dia sangat teruja bercampur gemuruh kerana akan berkongsi pentas dengan tiga penyanyi hebat lain iaitu Aishah, Musly Ramlee dan Rachel Guerzo Trio.

“Saya dah berehat lama sejak 2009 dan kembali bergerak secara aktif di dalam industri pada tahun lalu. Sebagai penyanyi, peluang membuat persembahan dengan iringan orkestra adalah satu impian dan pencapaian besar.

“Memang saya akui ada rasa gemuruh kerana saya tak pernah membuat persembahan dengan iringan orkestra. Walaupun ada lagu yang akan saya sampaikan, pernah saya nyanyikan sebelum ini, tapi tentu akan ada perbezaan dari segi susunan muzik dan sebagainya,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut penyanyi lagu Gelisah Mimpi itu lagi, dia juga berbesar hati kerana dipilih oleh pihak MPO.

“Saya tahu, MPO tidak akan membuka peluang yang mudah untuk artis yang mereka pilih. Jadi, bila saya dihubungi dan ditawarkan untuk turut serta, memang saya sangat berbesar hati,” katanya.

Konsert Semalam di Malaya akan berlangsung pada 15 dan 16 September ini bersempena sambutan Hari Malaysia bertempat di Dewan Filharmonik Petronas (DFP), Kuala Lumpur.

Pada acara konsert berdurasi dua jam itu, Liza akan mempersembahkan beberapa lagu antaranya Semalam di Malaya dan Jelingan Manja.

Tiket konsert Semalam di Malaya sudah dijual sejak Jun lalu.

Harga tiket adalah RM358 untuk tempat duduk Premium, RM254 (A Reserve), RM198 (B Reserve) dan RM141 (C Reserve).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 9:06 PM