Kumpulan XPDC bersama Mael (dua kiri). FOTO fail HM Digital
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


KUMPULAN XPDC (Kita Peng Yu) yang dianggotai oleh Mael (penyanyi), Jeff (gitar utama), Zuar (bass) dan Amy (drum) cuba melakukan kelainan dalam pemasaran album terbarunya apabila memperkenalkan sistem tempahan awal atau pre booking.

Hebahan mengenai promosi pembelian album XPDC 2018 yang dibuat menerusi Facebook pengurus mereka, Bro Yazid mendapat sambutan hangat daripada peminat setia kumpulan heavy metal popular ini.

Tambah lagi, promosi untuk pre booking berharga RM150 ini turut disertakan dengan teaser pendek lagu terbaru XPDC tanpa vokal membuatkan peminat teruja dan ternanti-nanti hasilnya yang sempurna nanti.

Zuar dihubungi berkata, idea ini tercetus secara spontan bagi mengelak gejala cetak rompak yang masih membelenggu industri muzik tanah air.

"Kami sekarang dalam proses rakaman album terbaru. Jadi, kami perlukan peminat tempah album ini awal-awal untuk elak cetak rompak.

"Apabila mencapai sasarannya, kami akan keluarkan album ini serentak kepada mereka agar mereka gembira menjadi peminat terawal yang memilikinya.

"Dua lagu sudah siap sepenuhnya, namun rakaman suara belum dibuat kerana Mael akan masuk vokal pada bahagian terakhir rakaman," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dengan jumlah RM150 yang dikeluarkan, peminat akan memiliki album baru yang mengandungi enam atau lapan lagu serta merchandise jenama XPDC.

"Ini kelebihan yang mereka dapat nanti. Kalau katakan 1000 peminat buat tempahan awal, bermakna kami akan keluarkan 1000 keping cakera padat sekaligus.

"Album kami hanya akan dijual cara ini dan takkan boleh diperolehi di kedai menjual album," katanya.

Zuar berkata, pelbagai kelainan turut dibuat dalam album ini apabila semua anggota XPDC bergabung idea dan tenaga menghasilkannya.

"Kami tak lagi amalkan cara dulu dimana hanya seorang saja bekerja. Semua perlu ambil peranan.

"Inilah sebabnya kami perlukan tempahan awal kerana ia sebagai jaminan untuk kami menghasilkan album ini.

"Selain itu, kami juga akan mendaftarkan lagu ini dibawah syarikat sendiri kerana ia lebih menguntungkan," katanya.

Menurut Zuar lagi, penjualan secara ini patut diperkenalkan sejak dahulu lagi bagi memberikan keuntungan sepenuhnya kepada artis.

Sekitar tahun 1990 sehingga awal 2000, XPDC dianggotai oleh Mael, Izo, Zuar dan Amy berjaya mencatat penjualan album terbaik sehingga melebihi 100,000 unit antaranya menerusi album Darjah Satu (1990), Timurbarat (1992), Kita Peng-Yu (1994), Brutal (1997) serta beberapa kompilasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Ogos 2018 @ 8:49 PM