Penyanyi dan penulis lagu, Camila Cabello bersama dua trofi dimenangi. FOTO AFP
Agensi

PENYANYI Camila Cabello menewaskan beberapa nama besar apabila menang kategori utama iaitu Video Terbaik dan Artis Terbaik di MTV Video Music Awards (VMAs) 2018.

Majlis berlangsung di Radio City Music Hall, New York City, New York, Amerika Syarikat (AS), hari ini.

Camila, 21, memenangi Video Terbaik menerusi lagu Havana duet bersama Young Thug yang menewaskan Ariana Grande (No Tears Left To Cry), Bruno Mars menampilkan Cardi B (Finesse), Drake (God’s Plan), The Carters (APES**T) dan Childish Gambino (This Is America).

Manakala untuk kategori Artis Terbaik dia menewaskan Ariana Grande, Bruno Mars, Cardi B, Drake dan Post Malone.

“Saya tidak percaya ini adalah untuk saya,” ucap bekas anggota Fifth Harmony itu sambil menunjukkan trofinya sewaktu diumumkan sebagai pemenang.

Antara pemenang lain termasuklah Cardi B yang dinobatkan Artis Baru Terbaik, Post Malone menampilkan 21 Savage untuk Lagu Terbaik menerusi Rockstar dan Jennifer Lopez menampilkan DJ Khaleed & Cardi B untuk Kolaborasi Terbaik menerusi Dinero.

Pada acara itu, penyanyi legenda Madonna tidak ketinggalan memberikan ucapan penghormatan kepada mendiang Aretha Franklin yang meninggal pada 16 Ogos lalu.

“Beliau membuatkan saya berada pada tahap ini dan saya percaya beliau meninggalkan pengaruh cukup besar kepada semua orang dalam ruangan ini.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih buat Aretha yang berjaya memperkasakan kita semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 3:15 PM