Hannah (kiri) dan Syafiq taruhan Osman untuk Langsuir. FOTO HM Digital
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PENGARAH berkaliber, Osman Ali akui mengguna pakai segala elemen mampu ‘dijual’ dan jadi daya penarik kepada penonton untuk menyaksikan filem arahannya di pawagam.

Osman akan muncul dengan filem Langsuir di pawagam pada 20 September ini yang diterajui pelakon Syafiq Kyle dan Hannah Delisha.

Justeru, untuk setiap filemnya Osman dikata bijak membuat percaturan dengan mempertaruhkan pelakon popular yang diminati penonton.

Tidak menafikan perkara itu, Osman berkata dia memilih Syafiq dan Hannah pun selepas menonton drama Mencintaimu Mr Photographer.

“Saya dapati nilai komersial mereka berdua tinggi. Malah, lakonan juga mantap dan ada jiwa. Itu pun yang ingin saya sampaikan pada penonton untuk filem Langsuir.

“Sebuah karya seram yang dimuatkan dengan plot cerita percintaan dua alam, gandingan Syafiq bersama Hannah adalah tepat untuk watak Azlan dan Suri.

“Apatah lagi, selepas uji bakat mereka nampaknya keserasian masing-masing dalam lakonan sangat menyerlah,” katanya.

Kagum dengan komitmen bakat muda itu, Osman berkata kali pertama bekerjasama mereka sudah membuktikan kesungguhan masing-masing.

Mengulas juga penerimaannya jika Langsuir dibandingkan ‘tidak jauh beza’ dengan filem seram terdahulu seperti Puaka Tebing Biru dan Jwanita, Osman akur.

“Saya bersikap terbuka terhadap perbandingan. Bagi saya, penerimaan setiap penonton itu berbeza.

“Jadi, kalau nak tahu adakah Langsuir ada persamaan dengan filem seram saya terdahulu, datanglah ke pawagam menonton.

“Tidak adil juga sekiranya penilaian dibuat berdasarkan prebiu media atau mendengar cakap-cakap orang saja.

“Terus-terang, saya menyeru penonton yang meminati filem tempatan supaya ke pawagam menyaksikan Langsuir,” katanya.

Osman berkata selepas menonton sendiri barulah boleh memberi komen supaya karya seninya tidak jadi ‘mangsa keadaan’.

Filem Langsuir yang penggambarannya dibuat tahun lalu memilih Langkawi sebagai lokasi utama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Ogos 2018 @ 1:23 PM